CATATAN BARAT MENGENAI BULAN RAMADAN | KHALIFAH

About

penaja 1

2 February 2012

CATATAN BARAT MENGENAI BULAN RAMADAN

SESUATU yang berlaku di Malaysia pada bulan puasa tidak menjadi berita akhbar atau televisyen. Ia berkaitan dengan majlis berbuka puasa yang diadakan oleh sesetengah kelab yang mempunyai ahli-ahli pelbagai kaum dan agama.

Satu contoh ialah seperti berlaku di sebuah kelab di Kuala Lumpur. Ramai datang untuk menikmati pelbagai hidangan berbuka puasa. Kelihatan kemudiannya betapa yang bukan Islam hanya makan manakala hadirin Islam mula berbuka.

Dua tiga hadirin Islam melambai tangan sebagai mengucap terima kasih kerana tindakan spontan itu dan lambaian dibalas. Ternyata adanya harmoni dan saling mengerti yang telah terjalin.

Lain cerita terbit dalam sebuah majalah Amerika yang menyiarkan ulasan seorang bernama Vali Nasr, sarjana politik antarabangsa dari Tufts University yang menghuraikan lima perkara.

Pertama ialah mengenai bulan Ramadan dianggap sebagai big business walaupun tidak sama luas niaganya seperti cuti Krismas. Kedua ialah mengenai Ramadan berupa eksport terbesar Arab Saudi. Para pekerja yang datang dari Pakistan dan Bangladesh umpamanya membawa balik sikap tegas mengenai status kaum wanita, pelaksanaan ajaran-ajaran agama dan sebagainya.

Perkara ketiga ialah mengenai Ramadan sebagai waktu berdamai tetapi peperangan terus berlaku di Iraq.

Keempat pula ialah mengenai bulan Ramadan bagi 45 juta orang Islam yang kini bermastautin di negara-negara Barat.

Perkara kelima menyentuh peristiwa bekas Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice melawat Libya dalam bulan Ramadan dan Muammar Gadaffi dikatakan enggan berjabat tangan dengannya.

Berbeza sekali huraian dalam buku berjudul Who Speaks for Islam? yang diedit oleh Profesor John Esposito dari Georgetown Universiti, seorang pakar dunia Islam dan Dalia Mogahad, pengarah eksekutif Gallup Center for Muslim Studies.

Teguh

Mereka menulis mengenai 1.3 bilion warga Islam yang bermastautin dalam 57 buah negara dan mereka bukan saja bercakap dalam bahasa Arab, tetapi juga Parsi, Turki, Urdu, Swahili, Melayu-Indonesia, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman, Denmark dan Sepanyol.

Lalu dicatat bahawa di negara-negara seperti Turki, Arab Saudi dan Indonesia, yang jelas sekali ialah “teguh iman kepada Islam”.

Juga disebut mengenai zakat berupa perkongsian kekayaan dan rezeki dari Tuhan. Lalu ditegaskan fungsi sosial mereka yang beragama Islam.

Lantas diperturunkan sebut hadis Nabi Muhammad S.A.W: “Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Antara lain kedua editor mengulas mengenai sikap Islamopfobia di Eropah hingga timbul kebimbangan wujudkan nanti “Eurabia”. Hal ini ternyata dari kenyataan-kenyataan oleh Profesor Bernard Lewis dan pihak-pihak lain.

Lantas Eskposito dan Dalia menjelaskan: “Bilangan orang Islam di negara-negara kesatuan Eropah 20 juta (4 peratus saja). Kalaupun Turki menyertai diterima masuk Kesatuan Eropah, sesuatu yang tidak mungkin dalam masa terdekat, bilangan orang Islam hanya meningkat 17 peratus saja.

Seterusnya disentuh sikap editor akhbar Denmark yang menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad. Beberapa pihak kemudian mengingatkan bahawa Editor akhbar berkenaan menolak kartun Jesus Christ kerana bimbang akan reaksi para pembaca yang konservatif. Demikian antara pandangan dari Who Speaks For Islam?

Wajar dicatat ialah tulisan Muhammad Asad, dulunya Yahudi yang memeluk agama Islam dalam bukunya, My Discovery of Islam”.

Beliau juga mengkritik orang-orang Eropah dan antara lain menyebut mengenai pemerintahan komunis dulu dan lawatannya ke Bokhara dan Tashkent. “Pengintip polis mencatat nama-nama tiap seorang yang masuk masjid. Kita-kitab Quran dirampas dan dibinasakan. Satu kegemaran para belia ialah membuang kepala babi ke dalam masjid”.

Tetapi akhirnya pemerintahan komunis di Rusia tumpas.

No comments :