SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU | KHALIFAH

About

penaja 1

1 May 2012

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TANAH MELAYU

Sebelum kedatangan Islam, masyrakat Melayu menganut fahaman animisme. Keadaan ini berubah selepas kedatanagan Islam yang membawa konsep tauhid dengan menafikan kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan Tuhan dan ibadat yang luas Islam telah berjaya menarik minat masyarakat tempatan. Sejak kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat Melayu dan adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004: 91-92).

Peta Kepulauan Riau Kuno
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dipercayai bermula pada abad ke-7 masihi. Pandangan ini berdasarkan kemungkinan agama Islam disebarkan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China. Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka pada abad ke-13 Masihi. Mengikut cacatan Marco Polo, agama Islam telah tersebar di Tanah Melayu sebelum abad ke-15. Pada tahun 1292, semasa Marco Polo dalam perjalanan pulang dari China, beliau telah melawat Sumatera. Perlak ialah pelabuhan pertama yang disinggahinya. Beliau menyatakan pada masa itu telah wujud usaha-usaha untuk mengislamkan penduduk tempatan oleh para pedagang Arab di Nusantara. Menurut beliau lagi, itulah satu-satunya negeri Islam di Kepulauan Melayu pada masa itu (Hall dlm Ruslan Zainuddin). Manakala Ibn Battutah, pengembara Arab yang singgah sebanyak dua kali di Samudera semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari Negara China antara tahun 1345 hingga 1346, menyatakan bahawa raja Samudera ketika itu telah memeluk Islam dan mengamalkan Mazhab Shafie. Menurut beliau lagi, negeri-negeri lain di sekelilingnya masih belum mmeluk Islam. Sepanjang tempoh abad ke-13 dan ke-16 Masihi, agama Islam telah tersebar dengan meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan mengurangkan pengaruh agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu. Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu (Ruslan Zainuddin, 2004: 91).

Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. Dalam bidang undang-undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka & Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu & Perlembagaan Negeri Johor. Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemerintah di mana kekuasaan politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam.


PENGHAYATAN ISLAM BERTERUSAN DI ZAMAN PENJAJAHAN

Proses Islamisasi Undang-undang & Sosio-Budaya dan Politik tergugat dengan kedatangan penjajah British, tetapi tidak banyak terjejas di zaman Portugis dan Belanda. Di zaman penjajahan British peranan Undang-undang Islam diperkecilkan bidang perlaksanaannya & golongan yang terlibat dengan Undang-undang Islam, iaitu hanya untuk orang-orang Islam dan bidangnya hanya bidang undang-undang diri dan kekeluargaan. Sesungguhnya begitu, kita dapati dalam bidang-bidang yang lain, seperti pendidikan agama, kehidupan keagamaan dan kehidupan individu dan keluarga serta masyarakat masih diberi ruang untuk dihayati dan tidak diganggu-gugat. Justeru itulah kita dapati perkembangan Islam dan penghayatannya masih dapat dipertahankan (JAKIM).

PENGHAYATAN ISLAM DI ZAMAN KEMERDEKAAN

Kemerdekaan Malaysia yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah usaha daripada UMNO, yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. UMNO cuba menunjukkan kekuatannya kepada pihak berkuasa British dengan menggabungkan parti China (MCA) dan parti India (MIC) dalam gagasan “Perikatan”, dengan mengekalkan identiti parti masing-masing dalam perkara-perkara tertentu (JAKIM).

Berasaskan perikatan ini didapati pensyarikatan kuasa politik berlaku antara etnik China, India dan Melayu, tetapi walau bagaimanapun UMNO masih merupakan kuasa politik dominan dalam pemerintahan. Sejak daripada tahun 1957 sehingga kini kedominan parti UMNO dapat dipertahankan dalam menguasai pemerintahan negara. Sungguhpun UMNO sebuah parti sekular, pendukung-pendukungnya adalah dari golongan Melayu Muslim yang masih sensitif kepada Islam kerana adanya sensitif ini didapati kedudukan Islam dan orang Melayu Islam ada keistimewaan-keistimewaan tertentu dan begitu juga intitusi-intitusi Islam di peringkat negeri dan pusat masih diberi kedudukannya yang tersendiri (JAKIM).

Sejak daripada tercapainya kemerdekaan, perhatian kepada pembangunan masyarakat Islam terus berlaku dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial cuma yang agak tersekat dalam proses Islamisasi ialah bidang undang-undang yang disegi kenyataannya untuk dibuat perubahan secara menyeluruh terhalang disebabkan beberapa peruntukan yang ditinggalkan oleh penjajah dalam perlembagaan, Undang-undang Federal dan Pusat. Undang-undang yang agak ketara percanggahannya adalah di bidang jenayah hudud, adapun di bidang jenayah membunuh & mencederakan sebahagian daripada prinsip dan hukumnya tidak banyak beza dengan Islam, demikian juga dalam hukum ta’zirkesalahan-kesalahan maksiat. Selain daripada itu dalam muamalat hanya unsur riba yang ketara bercanggah dengan Islam, tetapi dalam bahagian yang lain tidak banyak percanggahannya. Dalam bidang kekeluargaan didapati sepenuhnya undang-undang Islam dilaksanakan, kecuali negeri yang masih berpegang, kepada adat perpatih (JAKIM).

Dalam proses meneruskan Islamisasi di bidang undang-undang didapati peruntukan-peruntukan khas diwujudkan untuk kepentingan Islam dan masyarakat Islam seperti Akta Bank Islam, Akta Takaful, Falsafah Pendidikan Negara, Akta Universiti Antarabangsa, Akta Koperasi dan sebagainya. Melihat kepada perkembangan ini ternyata proses Islamisasi berterusan berjalan dengan adanya ruang peruntukan dalam Undang-undang Negeri & Persekutuan, Cuma yang perlu diusahakan ialah bahagian-bahagian tertentu dalam Undang-undang Federal, Perlembagaan dan undang-undang Negeri yang menghalang perlaksanaan Islam yang menyeluruh perlu dipinda (JAKIM).

SISTEM DEMOKRASI & PENGHAYATAN ISLAM

Selepas merdeka kita didedahkan dengan sistem demokrasi berparlimen, yang ditaja oleh penjajah British sebelum Malaysia diberi kemerdekaan. Untuk melaksanakan sistem demokrasi dalam pemerintahan maka parti politik ditubuhkan. Dalam sistem berparti ini terdapat peruntukan untuk parti pemerintah & parti pembakang. Dilihat dari sudut Islam sistem demokrasi ini dapat diterima dari satu sudut iaitu memberi suara kepada rakyat memilih pemimpin mereka secara bebas dan terbuka tetapi yang tidak cocok dengan Islam ialah ia membelah umat berterusan kepada dua kelompok, kelompok pemerintah dan kelompok pembangkang yang menentang pemerintah dalam ruang terbatas. Sedangkan dalam Islam mengajak kepada kesatuan umat dan mendekatkan jurang pemisahan di antara kelompok, bukan meluaskan jurang (JAKIM).

Walau bagaimanapun kenyataan ini wujud di hadapan kita dan kita terpaksa menerima sistem ini dengan dibuat perhitungan bahawa sistem ini bukan suatu kebenaran mutlak dan ia adalah tajaan penjajah yang masih meneruskan polisinya “divide & rule”. Kalau diambil asas yang masakini iaitu kuasa politik Melayu Muslim masih ada sebagai titik tolak untuk menyatukan Kelompok Islam, dengan mengambil kira Islam sebagai asas dalam penyelesaian kuasa politik dan cuba menjauhkan titik-titik perbezaan serta mencari titik-titik persamaan yang membina, maka dirasakan ini lebih bermanfaat untuk kekuatan masa depan politik orang Islam. Kalau tidak kita berterusan menjadi alat idea penjajah “divide & rule” yang kita sendiri memecahkan kelompok kita dengan tangan kita sendiri. Oleh itu bagi memudahkan proses penyatuan umat di masa depan kita perlu menerima sebagai suatu kenyataan bahawa negara ini ialah sebuah negara Islam. Dengan menerima negara ini sebagai sebuah negara Islam bukan bermakna ianya telah selesai segala tuntutannya. Kesempurnaannya perlu kepada pengisian daripada kita, sama juga seorang Muslim yang diakui sebagai Muslim selepas mengucap dua kalimah syahadah bukan bermakna Muslimnya sudah sempurna, kesempurnaan Islamnya bergantung kepada proses peningkatan ilmu & penghayatan Islam pada dirinya (JAKIM).

KESIMPULAN

Tidak ada kesepakatan dikalangan ulama tentang kriteria negara Islam kerana tidak terdapat nas Qat’i yang menentukannya. Justeru itu ulama berbeza pandangan dalam ijtihadnya dalam menentukan ciri-cirinya. Ada yang mencirikan bilangan majoriti Muslim sebagai penentu dan ada mencirikan perlaksanaan syari’ah sebagai penentu. Dalam pengalaman sejarah politik Islam tidak terdapat penentuan cara yang tetap dalam pemilihan pemimpin negara. Ada secara pemilihan terbuka dan ada secara warisan, tetapi semua bentuk pemimpin yang ditentukan itu diterima sah oleh ulama yang membincangkan teori politik Islam. Ulama juga tidak sepakat pendapat tentang syarat-syarat yang ditetapkan bagi ketua negara, kecuali beberapa syarat sahaja seperti keupayaan jasmani, kelayakan undang-undang, adil, kelayakan ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran. Kerakyatan negara Islam sama ada Muslim atau bukan Muslim adalah sama disegi hak dan kewajipan kecuali perkara-perkara khusus yang dikecualikan. Mereka dikira sebahagian daripada umat Islam (ummatun min al-Muslimin). Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan kepada majoriti penduduk Islam, keamanan yang dinikmati, perlaksanaan undang-undang Islam sebahagian besarnya dan kepimpinan negara dikuasai oleh orang Melayu Muslim (JAKIM).


Di Tulis Oleh:-

http://khalifahalhidayah.blogspot.com

PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.


 
 Share
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA.. 

No comments :