Pahlawan Islam
Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub
dilahirkan di Takrit Irak pada tahun 532
Hijrah /1138 Masihi dan wafat pada tahun 589
H/1193 M di Damsyik. Beliau adalah pengasas
Daulat Al-Ayyubiyah dan bergelar Sultan
Shalahuddin. Seorang pahlawan Islam yang
paling gagah berani dalam perang Salib dan
berhasil merebut kembali Baitul Maqdis dari
tangan kaum Salib Kristian.
Latar Belakang
Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga
agama samawi yakni Islam, Yahudi dan
Kristian. Di dalam kota inilah letaknya Masjid Al-
Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan
menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum
beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi
Muhammad Isra’, singgah dan solat di masjid
ini sebelum Mi’raj ke langit. Nabi Isa as. juga
dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota
Jerussalam ini.
Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin
Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat
direbut oleh kaum Muslimin dalam suatu
penyerahan kuasa secara damai. Khalifah Umar
sendiri datang ke Jerussalem untuk menerima
penyerahan kota Suci itu atas desakan dan
persetujuan Uskup Agung Sophronius.
Berabad abad lamanya kota itu berada di bawah
pentadbiran Islam, tapi penduduknya bebas
memeluk agama dan melaksanakan ajaran
agamanya masing-masing tanpa ada
gangguan. Orang-orang Kristian dari seluruh
dunia juga bebas datang untuk mengerjakan
haji di kota Suci itu dan mengerjakan upacara
keagamaannya. Orang-orang Kristian dari
Eropah datang mengerjakan haji dalam jumlah
rombongan yang besar dengan membawa
obor dan pedang seperti tentera. Sebahagian
dari mereka mempermainkan pedang dengan
dikelilingi pasukan gendang dan seruling dan
diiringkan pula oleh pasukan bersenjata lengkap.
Sebelum Jerussalem ditadbir Kerajaan Seljuk
pada tahun 1070, upacara seperti itu dibiarkan
saja oleh umat Islam, kerana dasar toleransi
agama. Akan tetapi apabila Kerajaan Seljuk
memerintah, upacara seperti itu tidak
dibernarkan, dengan alasan keselamatan.
Mungkin kerana upacara tersebut semakin
berbahaya. Lebih-lebih lagi kumpulan-kumpulan
yang mengambil bahagian dalam upacara itu
sering menyebabkan pergaduhan dan
huruhara. Disebutkan bahawa pada tahun 1064
ketua Uskup memimpin pasukan seramai 7000
orang jemaah haji yang terdiri dari kumpulan
Baron-baron dan para pahlawan telah
menyerang orang-orang Arab dan orang-orang
Turki.
Itulah yang membimbangkan Kerajaan Seljuk.
Jadi larangan itu demi keselamatan Jemaah haji
Kristian itu sendiri. Malangnya, tindakan Seljuk
itu menjadi salah anggapan oleh orang-orang
Eropah. Ketua-ketua agama mereka telah
berkempin bahawa kebebasan agamanya telah
dicabuli oleh orang-orang Islam dan menyeru
agar Tanah Suci itu dibebaskan dari genggaman
umat Islam.
Patriach Ermite adalah paderi yang paling
lantang dan bertungkus lumus mengapi-apikan
kemarahan umat Kristian. Dia asalnya seorang
tentera, tapi kemudian menjadi paderi, berwatak
kepala angin dan cepat marah. Dalam usahanya
untuk menarik simpati umat Kristian, Ermite
telah berkeliling Eropah dengan mengenderai
seekor kaldai sambil memikul kayu Salib besar,
berkaki ayam dan berpakaian compang
camping. Dia telah berpidato di hadapan orang
ramai sama ada di dalam gereja, di jalan-jalan
raya atau di pasar-pasar. Dia menceritakan
sama ada benar atau bohong kisah
kunjungannya ke Baitul Maqdis.
Katanya, dia melihat pencerobohan kesucian ke
atas kubur Nabi Isa oleh Kerajaan Turki Seljuk.
Diceritakan bahawa jemaah haji Kristian telah
dihina, dizalimi dan dinista oleh orang-orang
Islam di Jerussalem. Serentak dengan itu, dia
menggalakkan orang ramai agar bangkit
menyertai perang untuk membebaskan
Jerussalem dari tangan orang Islam. Hasutan
Ermite berhasil dengan menggalakkan. Paus
Urbanus II mengumumkan ampunan seluruh
dosa bagi yang bersedia dengan suka rela
mengikuti Perang Suci itu, sekalipun
sebelumnya dia merupakan seorang perompak,
pembunuh, pencuri dan sebagainya. Maka
keluarlah ribuan umat Kristian untuk mengikuti
perang dengan memikul senjata untuk
menyertai perang Suci. Mereka yang ingin
mengikuti perang ini diperintahkan agar
meletakkan tanda Salib di badannya, oleh kerana
itulah perang ini disebut Perang Salib.
Paus Urbanus menetapkan tarikh 15 Ogos 1095
bagi pemberangkatan tentera Salib menuju
Timur Tengah, tapi kalangan awam sudah tidak
sabar menunggu lebih lama lagi setelah
dijanjikan dengan berbagai kebebasan,
kemewahan dan habuan. Mereka mendesak
Paderi Patriach Ermite agar berangkat
memimpin mereka. Maka Ermite pun berangkat
dengan 60,000 orang pasukan, kemudian
disusul oleh kaum tani dari Jerman seramai
20.000, datang lagi 200,000 orang menjadikan
jumlah keseluruhannya 300,000 orang lelaki
dan perempuan. Sepanjang perjalanan, mereka
di izinkan merompak, memperkosa, berzina
dan mabuk-mabuk. Setiap penduduk negeri
yang dilaluinya, selalu mengalu-alukan dan
memberikan bantuan seperlunya.
Akan tetapi sesampainya di Hongaria dan
Bulgaria, sambutan sangat dingin,
menyebabkan pasukan Salib yang sudah
kekurangan makanan ini marah dan merampas
harta benda penduduk. Penduduk di dua negeri
ini tidak tinggal diam. Walau pun mereka sama-
sama beragama Kristian, mereka tidak senang
dan bertindak balas. Terjadilah pertempuran
sengit dan pembunuhan yang mengerikan. Dari
300,000 orang pasukan Salib itu hanya 7000
sahaja yang selamat sampai di Semenanjung
Thracia di bawah pimpinan sang Rahib.
Apabila pasukan Salib itu telah mendarat di
pantai Asia kecil, pasukan kaum Muslimin yang
di pimpin oleh Sultan Kalij Arselan telah
menyambutnya dengan hayunan pedang. Maka
terjadilah pertempuran sengit antara kaum Salib
dengan pasukan Islam yang berakhir dengan
hancur binasanya seluruh pasukan Salib itu.
Kaum Salib Mengganas
Setelah kaum Salib yang dipimpin oleh para
Rahib yang tidak tahu strategi perang itu
musnah sama sekali, muncullah pasukan Salib
yang dipimpin oleh anak-anak Raja Godfrey dari
Lorraine Perancis, Bohemund dari Normandy
dan Raymond dari Toulouse. Mereka
berkumpul di Konstantinopel dengan kekuatan
150,000 askar, kemudian menyeberang selat
Bosfur dan melanggar wliayah Islam bagaikan
air bah. Pasukan kaum Muslimin yang hanya
berkekuatan 50,000 orang bertahan mati-
matian di bawah pimpinan Sultan Kalij Arselan.
Satu persatu kota dan Benteng kaum Muslimin
jatuh ke tangan kaum Salib, memaksa Kalij
Arselan berundur dari satu benteng ke benteng
yang lain sambil menyusun kekuatan dan taktik
baru. Bala bantuan kaum Salib datang
mencurah-curah dari negara-negara Eropah.
Sedangkan Kalij Arselan tidak dapat
mengharapkan bantuan dari wilayah-wilayah
Islam yang lain, kerana mereka sibuk dengan
kemelut dalaman masing-masing.
Setelah berlaku pertempuran sekian lama,
akhirnya kaum Salib dapat mara dan
mengepung Baitul Maqdis, tapi penduduk kota
Suci itu tidak mahu menyerah kalah begitu saja.
Mereka telah berjuang dengan jiwa raga
mempertahankan kota Suci itu selama satu
bulan. Akhirnya pada 15 Julai 1099, Baitul
Maqdis jatuh ke tangan pasukan Salib,
tercapailah cita-cita mereka.
Berlakulah keganasan luar biasa yang belum
pernah terjadi dalam sejarah umat manusia.
Kaum kafir Kristian itu telah menyembelih
penduduk awam Islam lelaki, perempuan dan
kanak-kanak dengan sangat ganasnya. Mereka
juga membantai orang-orang Yahudi dan
orang-orang Kristian yang enggan bergabung
dengan kaum Salib. Keganasan kaum Salib
Kristian yang sangat melampau itu telah dikutuk
dan diperkatakan oleh para saksi dan penulis
sejarah yang terdiri dari berbagai agama dan
bangsa.
Seorang ahli sejarah Perancis, Michaud berkata:
“Pada saat penaklukan Jerussalem oleh orang
Kristian tahun 1099, orang-orang Islam dibantai
di jalan-jalan dan di rumah-rumah. Jerussalem
tidak punya tempat lagi bagi orang-orang yang
kalah itu. Beberapa orang cuba mengelak dari
kematian dengan cara menghendap-hendap
dari benteng, yang lain berkerumun di istana
dan berbagai menara untuk mencari
perlindungan terutama di masjid-masjid.
Namun mereka tetap tidak dapat
menyembunyikan diri dari pengejaran orang-
orang Kristian itu.
Tentera Salib yang menjadi tuan di Masjid
Umar, di mana orang-orang Islam cuba
mempertahankan diri selama beberapa lama
menambahkan lagi adegan-adegan yang
mengerikan yang menodai penaklukan Titus.
Tentera infanteri dan kaveleri lari tunggang
langgang di antara para buruan. Di tengah
huru-hara yang mengerikan itu yang terdengar
hanya rintihan dan jeritan kematian. Orang-
orang yang menang itu memijak-mijak
tumpukan mayat ketika mereka lari mengejar
orang yang cuba menyelamatkan diri dengan
sia-sia.
Raymond d’Agiles, yang menyaksikan peristiwa
itu dengan mata kepalanya sendiri mengatakan:
“Di bawah serambi masjid yang melengkung
itu, genangan darah dalamnya mencecah lutut
dan mencapai tali kekang kuda.”
Aksi pembantaian hanya berhenti beberapa saat
saja, yakni ketika pasukan Salib itu berkumpul
untuk menyatakan kesyukuran di atas
kemenangan mereka. Tapi sebaik saja upacara
itu selesai, pembantaian diteruskan dengan lebih
ganas lagi.
Seterusnya Michaud berkata: “Semua yang
tertangkap yang disisakan dari pembantaian
pertama, semua yang telah diselamatkan untuk
mendapatkan upeti, dibantai dengan kejam.
Orang-orang Islam itu dipaksa terjun dari
puncak menara dan bumbung-bumbung
rumah, mereka dibakar hidup -hidup , diheret
dari tempat persembunyian bawah tanah,
diheret ke hadapan umum dan dikurbankan di
tiang gantungan.
Air mata wanita, tangisan kanak-kanak, begitu
juga pemandangan dari tempat Yesus Kristus
memberikan ampun kepada para algojonya,
sama sekali tidak dapat meredhakan nafsu
membunuh orang-orang yang menang itu.
Penyembelihan itu berlangsung selama
seminggu. Beberapa orang yang berhasil
melarikan diri, dimusnahkan atau dikurangkan
bilangannya dengan perhambaan atau kerja
paksa yang mengerikan.”
Gustav Le Bon telah mensifatkan
penyembelihan kaum Salib Kristian
sebagaimana kata-katanya: “Kaum Salib kita
yang “bertakwa” itu tidak memadai dengan
melakukan berbagai bentuk kezaliman,
kerosakan dan penganiayaan, mereka kemudian
mengadakan suatu mesyuarat yang
memutuskan supaya dibunuh saja semua
penduduk Baitul Maqdis yang terdiri dari kaum
Muslimin dan bangsa Yahudi serta orang-orang
Kristian yang tidak memberikan pertolongan
kepada mereka yang jumlah mencapai 60,000
orang. Orang-orang itu telah dibunuh semua
dalam masa 8 hari saja termasuk perempuan,
kanak-kanak dan orang tua, tidak seorang pun
yang terkecuali.
Ahli sejarah Kristian yang lain, Mill, mengatakan:
“Ketika itu diputuskan bahawa rasa kasihan tidak
boleh diperlihatkan terhadap kaum Muslimin.
Orang-orang yang kalah itu diheret ke tempat-
tempat umum dan dibunuh. Semua kaum
wanita yang sedang menyusu, anak-anak gadis
dan anak-anak lelaki dibantai dengan kejam.
Tanah padang, jalan-jalan, bahkan tempat-
tempat yang tidak berpenghuni di Jerusssalem
ditaburi oleh mayat-mayat wanita dan lelaki,
dan tubuh kanak-kanak yang koyak-koyak.
Tidak ada hati yang lebur dalam keharuan atau
yang tergerak untuk berbuat kebajikan melihat
peristiwa mengerikan itu.”
Kemunculan Panglima Shalahuddin
Jatuhnya kota Suci Baitul Maqdis ke tangan
kaum Salib telah mengejutkan para pemimpin
Islam. Mereka tidak menyangka kota Suci yang
telah dikuasainya selama lebih 500 tahun itu
boleh terlepas dalam sekelip mata. Mereka sedar
akan kesilapan mereka kerana berpecah belah.
Para ulama telah berbincang dengan para
Sultan, Emir dan Khalifah agar mengambil berat
dalam perkara ini.
Usaha mereka berhasil. Setiap penguasa negara
Islam itu bersedia bergabung tenaga untuk
merampas balik kota Suci tersebut. Di antara
pemimpin yang paling gigih dalam usaha
menghalau tentera Salib itu ialah Imamuddin
Zanki dan diteruskan oleh anaknya Emir
Nuruddin Zanki dengan dibantu oleh panglima
Asasuddin Syirkuh.
Setelah hampir empat puluh tahun kaum Salib
menduduki Baitul Maqdis, Shalahuddin Al-
Ayyubi baru lahir ke dunia, yakni pada tahun
1138 Masihi. Keluarga Shalahuddin taat
beragama dan berjiwa pahlawan. Ayahnya,
Najmuddin Ayyub adalah seorang yang
termasyhur dan beliau pulalah yang
memberikan pendidikan awal kepada
Shalahuddin.
Selain itu, Shalahuddin juga mendapat
pendidikan dari bapa saudaranya Asasuddin
Syirkuh seorang negarawan dan panglima
perang Syria yang telah berhasil mengalahkan
tentera Salib sama ada di Syria ataupun di Mesir.
Dalam setiap peperangan yang dipimpin oleh
panglima Asasuddin, Shalahuddin sentiasa ikut
sebagai tentera pejuang sekalipun usianya
masih muda.
Pada tahun 549 H/1154 M, panglima Asasuddin
Syirkuh memimpin tenteranya merebut dan
menguasai Damsyik. Shalahuddin yang ketika
itu baru berusia 16 tahun turut serta sebagai
pejuang. Pada tahun 558 H/1163 Masihi,
panglima Asasuddin membawa Shalahuddin
Al-Ayyubi yang ketika itu berusia 25 tahun
untuk menundukkan Daulat Fatimiyah di Mesir
yang diperintah oleh Aliran Syiah Ismailiyah
yang semakin lemah.Usahanya berhasil.
Khalifah Daulat Fatimiyah terakhir Adhid
Lidinillah dipaksa oleh Asasuddin Syirkuh untuk
menandatangani perjanjian. Akan tetapi, Wazir
besar Shawar merasa cemburu melihat Syirkuh
semakin popular di kalangan istana dan rakyat.
Dengan senyap-senyap dia pergi ke Baitul
Maqdis dan meminta bantuan dari pasukan
Salib untuk menghalau Syirkuh daripada
berkuasa di Mesir. Pasukan Salib yang dipimpin
oleh King Almeric dari Jerussalem menerima
baik jemputan itu. Maka terjadilah pertempuran
antara pasukan Asasuddin dengan King Almeric
yang berakhir dengan kekalahan Asasuddin.
Setelah menerima syarat-syarat damai dari
kaum Salib, panglima Asasuddin dan
Shalahuddin dibenarkan balik ke Damsyik.
Kerjasama Wazir besar Shawar dengan orang
kafir itu telah menimbulkan kemarahan Emir
Nuruddin Zanki dan para pemimpin Islam
lainnya termasuk Baghdad. Lalu
dipersiapkannya tentera yang besar yang tetap
dipimpin oleh panglima Syirkuh dan
Shalahuddin Al-Ayyubi untuk menghukum si
pengkhianat Shawar. King Almeric terburu-buru
menyiapkan pasukannya untuk melindungi
Wazir Shawar setelah mendengar kemaraan
pasukan Islam. Akan tetapi Panglima Syirkuh
kali ini bertindak lebih pantas dan berhasil
membinasakan pasukan King Almeric dan
menghalaunya dari bumi Mesir dengan aib
sekali.
Panglima Shirkuh dan Shalahuddin terus mara
ke ibu kota Kaherah dan mendapat tentangan
dari pasukan Wazir Shawar. Akan tetapi
pasukan Shawar hanya dapat bertahan sebentar
saja, dia sendiri melarikan diri dan
bersembunyi. Khalifah Al-Adhid Lidinillah
terpaksa menerima dan menyambut
kedatangan panglima Syirkuh buat kali kedua.
Suatu hari panglima Shalahuddin Al-Ayyubi
berziarah ke kuburan seorang wali Allah di
Mesir, ternyata Wazir Besar Shawar dijumpai
bersembunyi di situ. Shalahuddin segera
menangkap Shawar, dibawa ke istana dan
kemudian dihukum bunuh.
Khalifah Al-Adhid melantik panglima Asasuddin
Syirkuh menjadi Wazir Besar menggantikan
Shawar. Wazir Baru itu segera melakukan
perbaikan dan pembersihan pada setiap institusi
kerajaan secara berperingkat. Sementara anak
saudaranya, panglima Shalahuddin Al-Ayyubi
diperintahkan membawa pasukannya
mengadakan pembersihan di kota-kota
sepanjang sungai Nil sehingga Assuan di
sebelah utara dan bandar-bandar lain termasuk
bandar perdagangan Iskandariah.
Menutup Daulat Fatimiyah
Wazir Besar Syirkuh tidak lama memegang
jawatannya, kerana beliau wafat pada tahun
565 H/1169 M. Khalifah Al-Adhid melantik
panglima Shalahuddin Al-Ayyubi menjadi Wazir
Besar menggantikan Syirkuh dengan mendapat
persetujuan pembesar-pembesar Kurdi dan
Turki. Walaupun berkhidmat di bawah Khalifah
Daulat Fatimiah, Shalahuddin tetap menganggap
Emir Nuruddin Zanki sebagai ketuanya.
Nuruddin Zanki berulang kali mendesak
Shahalahuddin agar menangkap Khalifah Al-
Adhid dan mengakhiri kekuasaan Daulat
Fatimiah untuk seterusnya diserahkan semula
kepada Daulat Abbasiah di Baghdad. Akan tetapi
Shalahuddin tidak mahu bertindak terburu-
buru, beliau memperhatikan keadaan
sekelilingnya sehingga musuh-musuh dalam
selimut betul-betul lumpuh.
Barulah pada tahun 567 H/1171 Masihi,
Shalahuddin mengumumkan penutupan Daulat
Fatimiah dan kekuasaan diserahkan semula
kepada Daulat Abbasiah. Maka doa untuk
Khalifah Al-Adhid pada khutbah Jumaat hari itu
telah ditukar kepada doa untuk Khalifah Al-
Mustadhi dari Daulat Abbasiah.
Ketika pengumuman peralihan kuasa itu dibuat,
Khalifah Al-Adhid sedang sakit kuat, sehingga
beliau tidak mengetahui perubahan besar yang
berlaku di dalam negerinya dan tidak
mendengar bahawa Khatib Jumaat sudah tidak
mendoakan dirinya lagi. Sehari selepas
pengumuman itu, Khalifah Al-Adhid wafat dan
dikebumikan sebagaimana kedudukan
sebelumnya, yakni sebagai Khalifah.
Dengan demikian berakhirlah kekuasaan Daulat
Fatimyah yang dikuasai oleh kaum Syi’ah
selama 270 tahun. Keadaan ini sememangnya
telah lama ditunggu-tunggu oleh golongan
Ahlussunnah di seluruh negara Islam lebih-lebih
lagi di Mesir sendiri. Apalagi setelah Wazir Besar
Shawar berkomplot dengan kaum Salib musuh
Islam. Pengembalian kekuasaan kepada
golongan Sunni itu telah disambut meriah di
seluruh wilayah-wilayah Islam, lebih-lebih di
Baghdad dan Syiria atas restu Khalifah Al-
Mustadhi dan Emir Nuruddin Zanki.
Mereka sangat berterima kasih kepada Panglima
Shalahuddin Al-Ayyubi yang dengan
kebijaksanaan dan kepintarannya telah menukar
suasana itu secara aman dan damai. Serentak
dengan itu pula, Wazir Besar Shalahuddin Al-
Ayyubi telah merasmikan Universiti Al-Azhar
yang selama ini dikenal sebagai pusat pengajian
Syiah kepada pusat pengajian Ahlussunnah Wal
Jamaah. Semoga Allah membalas jasa-jasa
Shalahuddin.
Menyatupadukan Kuasa-Kuasa Islam
Walaupun sangat pintar dan bijak mengatur
strategi dan berani di medan tempur,
Shalahuddin berhati lembut, tidak mahu menipu
atasan demi kekuasaan dunia. Beliau tetap setia
pada atasannya, tidak mahu merampas kuasa
untuk kepentingan peribadi. Kerana apa yang
dikerjakannya selama ini hanyalah mencari
peluang untuk menghalau tentera Salib dari
bumi Jerussalem. Untuk tujuan ini, beliau
berusaha menyatu padukan wilayah-wilyah
Islam terlebih dahulu, kemudian menghapuskan
para pengkhianat agama dan negara agar
peristiwa Wazir Besar Shawar tidak berulang
lagi.
Di Mesir, beliau telah berkuasa penuh, tapi
masih tetap taat setia pada kepimpinan
Nuruddin Zanki dan Khalifah di Baghdad. Tahun
1173 M, Emir Nuruddin Zanki wafat dan
digantikan oleh puteranya Ismail yang ketika itu
baru berusia 11 tahun dan bergelar Mulk al
Shalih. Para ulama dan pembesar
menginginkan agar Emir Salahudin mengambil
alih kuasa kerana tidak suka kepada Mulk al-
Shalih keran selalu cuai melaksanakan
tanggungjawabnya dan suka bersenang-
senang. Akan tetapi Shalahuddin tetap taat setia
dan mendoakan Mulk al Saleh dalam setiap
khutbah Jumaat, bahkan mengabadikannya
pada mata wang syiling.
Apabila Damsyik terdedah pada serangan kaum
Salib, barulah Shalahudin menggerakkan
pasukannya ke Syiria untuk mempertahankan
kota itu daripada jatuh. Tidak lama kemudian
Ismail wafat, maka Shalahuddin menyatukan
Syria dengan Mesir dan menubuhkan Emirat Al-
Ayyubiyah dengan beliau sendiri sebagai
Emirnya yang pertama. Tiada berapa lama
kemudian, Sultan Shalahuddin dapat
menggabungkan negeri-negeri An-Nubah,
Sudan, Yaman dan Hijaz ke dalam
kekuasaannya yang besar. Negara di Afirka
yang telah diduduki oleh askar Salib dari
Normandy, juga telah dapat direbutnya dalam
masa yang singkat. Dengan ini kekuasaan
Shalahuddin telah cukup besar dan kekuatan
tenteranya cukup ramai untuk mengusir tentera
kafir Kristian yang menduduki Baitul Maqdis
selama berpuluh tahun.
Sifatnya yang lemah lembut, zuhud, wara’ dan
sederhana membuat kaum Muslimin di bawah
kekuasaannya sangat mencintainya. Demikian
juga para ulama sentiasa mendoakannya agar
cita-cita sucinya untuk merampas semula
Tanah Suci berhasil dengan segera.
Perjuangan Merebut Baitul Maqdis
Setelah merasa kuat, Sultan Shalahuddin
menumpukan perhatiannya untuk
memusnahkan tentera Salib yang menduduki
Baitul Maqdis dan merebut kota Suci itu semula.
Banyak rintangan dan problem yang dialami
oleh Sultan sebelum maksudnya tercapai.
Siasah yang mula-mula dijalankannya adalah
mengajak tentera Salib untuk berdamai. Pada
lahirnya, kaum Salib memandang bahawa
Shalahuddin telah menyerah kalah, lalu mereka
menerima perdamaian ini dengan sombong.
Sultan sudah menjangka bahawa orang-orang
kafir Kristian itu akan mengkhianati perjanjian,
maka ini akan menjadi alasan bagi beliau untuk
melancarkan serangan. Untuk ini, beliau telah
membuat persiapan secukupnya.
Ternyata memang betul, baru sebentar
perjanjian ditandatangani, kaum Salib telah
mengadakan pelanggaran. Maka Sultan
Shalahuddin, segera bergerak melancarkan
serangan, tapi kali ini masih gagal dan beliau
sendiri hampir kena tawan. Beliau kembali ke
markasnya dan menyusun kekuatan yang lebih
besar.
Suatu kejadian yang mengejutkan Sultan dalam
suasana perdamaian adalah tindakan seorang
panglima Salib Count Rainald de Chatillon yang
bergerak dengan pasukannya untuk menyerang
kota Suci Makkah dan Madinah. Akan tetapi
pasukan ini hancur binasa digempur mujahid
Islam di laut Merah dan Count Rainald dan sisa
pasukannya balik ke Jerussalem. Dalam
perjalanan, mereka telah berjumpa dengan satu
iring-iringan kafilah kaum Muslimin yang
didalamnya terdapat seorang saudara
perempuan Sultan Shalahuddin. Tanpa berfikir
panjang, Count dan kuncu-kuncunya
menyerang kafilah tersebut dan menawan
mereka termasuk saudara perempuan kepada
Shalahuddin.
Dengan angkuh Count berkata: “Apakah
Muhammad, Nabi mereka itu mampu datang
untuk menyelamatkan mereka?”
Seorang anggota kafilah yang dapat meloloskan
diri terus lari dan melapor kepada Sultan apa
yang telah terjadi. Sultan sangat marah
terhadap pencabulan gencatan senjata itu dan
mengirim perutusan ke Jerussalem agar semua
tawanan dibebaskan. Tapi mereka tidak
memberikan jawapan. Ekoran kejadian ini,
Sultan keluar membawa pasukannya untuk
menghukum kaum Salib yang sering
mengkhianati janji itu. Terjadilah pertempuran
yang sangat besar di gunung Hittin sehingga
dikenal dengan Perang Hittin.
Dalam pertempuran ini, Shalahuddin menang
besar. Pasukan musuh yang berjumlah 45,000
orang hancur binasa dan hanya tinggal
beberapa ribu saja yang sebagian besarnya
menjadi tawanan termasuk Count Rainald de
Chatillon sendiri. Semuanya diangkut ke
Damaskus. Count Rainald yang telah menawan
saudara perempuan Sultan dan
mempersendakan Nabi Muhammad itu digiring
ke hadapan beliau.
“Nah, bagaimana jadinya yang telah nampak
oleh engkau sekarang? Apakah saya tidak cukup
menjadi pengganti Nabi Besar Muhammad
untuk melakukan pembalasan terhadap
berbagai penghinaan engkau itu?” tanya Sultan
Shalahuddin.
Shalahuddin mengajak Count agar masuk
Islam, tapi dia tidak mahu. Maka dia pun
dihukum bunuh kerana telah menghina Nabi
Muhammad.
Kembali Ke Pangkuan Kaum Muslimin
Setelah melalui berbagai peperangan dan
menaklukkan berbagai benteng dan kota,
sampailah Sultan Shalahuddin pada matlamat
utamanya iaitu merebut Baitul Maqdis. Kini
beliau mengepung Jerussalem selama empat
puluh hari membuat penduduk di dalam kota
itu tidak dapat berbuat apa-apa dan kekurangan
keperluan asas. Waktu itu Jerussalem dipenuhi
dengan kaum pelarian dan orang-orang yang
selamat dalam perang Hittin. Tentera
pertahanannya sendiri tidak kurang dari 60,000
orang.
Pada mulanya Sultan menyerukan seruan agar
kota Suci itu diserahkan secara damai. Beliau
tidak ingin bertindak seperti yang dilakukan oleh
Godfrey dan orang-orangnya pada tahun 1099
untuk membalas dendam. Akan tetapi pihak
Kristian telah menolak tawaran baik dari Sultan,
bahkan mereka mengangkat Komandan Perang
untuk mempertahankan kota itu. Kerana mereka
menolak seruan, Sultan Shalahuddin pun
bersumpah akan membunuh semua orang
Kristian di dalam kota itu sebagai membalas
dendam ke atas peristiwa 90 tahun yang lalu.
Mulailah pasukan kaum Muslimin melancarkan
serangan ke atas kota itu dengan anak panah
dan manjanik.
Kaum Salib membalas serangan itu dari dalam
benteng. Setelah berlangsung serangan selama
empat belas hari, kaum Salib melihat bahawa
pintu benteng hampir musnah oleh serangan
kaum Muslimin. Para pemimpin kaum Salib
mulai merasa takut melihat kegigihan dan
kekuatan pasukan Muslim yang hanya tinggal
menunggu masa untuk melanggar masuk.
Beberapa pemimpin Kristian telah keluar
menemui Sultan Shalahuddin menyatakan
hasratnya untuk menyerahkan kota Suci secara
aman dan minta agar nyawa mereka
diselamatkan.
Akan tetapi Sultan menolak sambil berkata: “Aku
tidak akan menaklukkan kota ini keculai dengan
kekerasan sebagaimana kamu dahulu
menaklukinya dengan kekerasan. Aku tidak akan
membiarkan seorang Kristian pun melainkan
akan kubunuh sebagaimana engkau
membunuh semua kaum Muslimin di dalam
kota ini dahulu.”
Setelah usaha diplomatik mereka tidak berhasil,
Datuk Bandar Jerussalem sendiri datang
menghadap Sultan dengan merendah diri dan
minta dikasihani, memujuk dan merayu dengan
segala cara. Sultan Shalahuddin tidak
menjawabnya.
Akhirnya ketua Kristian itu berkata: “Jika tuan
tidak mahu berdamai dengan kami, kami akan
balik dan membunuh semua tahanan (terdiri
dari kaum Muslimin seramai 4000 orang) yang
ada pada kami. Kami juga akan membunuh
anak cucu kami dan perempuan-perempuan
kami. Setelah itu kami akan binasakan rumah-
rumah dan bangunan-bangunan yang indah-
indah, semua harta dan perhiasan yang ada
pada kami akan dibakar. Kami juga akan
memusnahkan Kubah Shahra’, kami akan
hancurkan semua yang ada sehingga tidak ada
apa-apa yang boleh dimanfaatkan lagi. Selepas
itu, kami akan keluar untuk berperang mati-
matian, kerana sudah tidak ada apa-apa lagi
yang kami harapkan selepas ini. Tidak seorang
pun boleh membunuh kami sehingga
sebilangan orang-orang tuan terbunuh terlebih
dahulu. Nah, jika demikian keadaannya,
kebaikan apalagi yang tuan boleh harapkan?”
Setelah mendengar kata-kata nekat dan ugutan
itu, Sultan Shalahuddin menjadi lembut dan
kasihan dan bersedia untuk memberikan
keamanan. Beliau meminta nasihat para ulama
yang mendampinginya mengenai sumpah
berat yang telah diucapkannya. Para ulama
mengatakan bahawa beliau mesti menebus
sumpahnya dengan membayar Kifarat
sebagaimana yang telah disyariatkan.
Maka berlangsunglah penyerahan kota secara
aman dengan syarat setiap penduduk mesti
membayar wang tebusan. Bagi lelaki wajib
membayar sepuluh dinar, perempuan lima
dinar dan kanak-kanak dua dinar sahaja.
Barangsiapa yang tidak mampu membayar
tebusan, akan menjadi tawanan kaum Muslimin
dan berkedudukan sebagai hamba. Semua
rumah, senjata dan alat-alat peperangan lainnya
mesti ditinggalkan untuk kaum Muslimin.
Mereka boleh pergi ke mana-mana tempat yang
aman untuk mereka. Mereka diberi tempo
selama empat puluh hari untuk memenuhi
syarat-syaratnya, dan Barangsiapa yang tidak
sanggup menunaikannya sehinnga lewat dari
waktu itu, ia akan menjadi tawanan. Ternyata
ada 16,000 orang Kristian yang tidak sanggup
membayar wang tebusan. Semua mereka
ditahan sebagai hamba.
Maka pada hari Jumaat 27 Rajab 583 Hijrah,
Sultan Shalahuddin bersama kaum Muslimin
memasuki Baitul Maqdis. Mereka melaungkan
“Allahu Akbar” dan bersyukur kehadirat Allah
s.w.t. Air mata kegembiraan menitis di setiap
pipi kaum Muslimin sebaik saja memasuki kota
itu. Para ulama dan solehin datang
mengucapkan tahniah kepada Sultan
Shalahuddin di atas perjuangannya yang telah
berhasil. Apalagi tarikh tersebut bersamaan
dengan tarikh Isra’ Nabi S.A.W dari Masjidil
Haram ke Masjidil Aqsa. Pada hari Jumaat
tersebut, kaum Muslimin tidak sempat
melaksankan solat Jumaat di Masjidil Aqsa
kerana sempitnya waktu. Mereka terpaksa
membersihkan Masjid Suci itu dari babi, kayu-
kayu salib, gambar-gambar rahib dan patung-
patung yang dipertuhan oleh kaum Kristian.
Barulah pada Jumaat berikutnya mereka
melaksanakan solat Jumaat di Masjidil Aqsa buat
pertama kalinya dalam masa 92 tahun. Kadi
Muhyiddin bin Muhammad bin Ali bin Zaki telah
bertindak selaku khatib atas izin Sultan
Shalahuddin.
Kejatuhan Jerussalem ke tangan kaum Muslimin
telah membuat Eropah marah. Mereka
melancarkan kutipan yang disebut “Saladin
tithe”, yakni derma wajib untuk melawan
Shalahuddin yang hasilnya digunakan untuk
membiayai perang Salib. Dengan angkatan
perang yang besar, beberapa orang raja Eropah
berangkat untuk merebut kota Suci itu semula.
Maka terjadilah perang Salib ketiga yang sangat
sengit. Namun demikian, Shalahuddin masih
dapat mempertahankan Jerussalem sehingga
perang tamat. Setahun selepas perang Salib ke
tiga itu, Sultan Shalahuddin pulang
kerahmatullah. Semoga Allah mencucuri
rahmat ke atasnya, amin.
Peribadi Seorang Panglima
Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi terbilang sebagai
pahlawan dan Panglima Islam yang besar. Pada
beliau terkumpul sifat-sifat berani, wara’, zuhud,
khusyu’, pemurah, pemaaf, tegas dan lain-lain
sifat terpuji. Para ulama dan penulis sejarah
telah memberikan kepujian yang melangit. Sifat
pemurah dan pemaafnya diakui oleh lawan
mahupun kawan.
Seorang penulis sejarah mengatakan: “Hari
kematiannya merupakan kehilangan besar bagi
agama Islam dan kaum Muslimin, kerana
mereka tidak pernah menderita semenjak
kehilangan keempat-empat Khalifah yang
pertama (Khulafaurrasyidin). Istana, kerajaan
dan dunia diliputi oleh wajah-wajah yang
tertunduk, seluruh kota terbenam dalam
dukacita, dan rakyat mengikuti keranda
jenazahnya dengan tangisan dan ratapan.”
Sultan Shalahuddin adalah seorang pahlawan
yang menghabiskan waktunya dengan bekerja
keras siang dan malam untuk Islam. Hidup nya
sangat sederhana. Minumnya hanya air kosong,
makanannya sederhana, pakaiannya dari jenis
yang kasar. Beliau sentiasa menjaga waktu-
waktu solat dan mengerjakannya secara
berjamaah. Dikatakan bahawa beliau sepanjang
hayatnya tidak pernah terlepas dari
mengerjakan solat jamaah, bahkan ketika sakit
yang membawa pada ajalnya, beliau masih
tetap mengerjakan solat berjamaah. Sebaik saja
imam masuk berdiri di tempatnya, beliau sudah
siap di dalam saf. Beliau suka mendengarkan
bacaan Al-Quran, Hadis dan ilmu pengetahuan.
Dalam bidang Hadis, beliau memang
mendengarkannya secara teratur, sehingga
beliau boleh mengenal jenis-jenis hadis. Hatinya
sangat lembut dan pemurah, sering menangis
apabila mendengarkan hadis.
Di dalam buku The Historians’ History of the
World disebutkan sifat-sifat Shalahuddin sebagai
berikut: “Keberanian dan keberhasilan Sultan
Shalahuddin itu terjelma seluruhnya pada
perkembangan keperibadian yang luar biasa.
Sama seperti halnya dengan Emir Imamuddin
Zanki dan Emir Nuruddin Zanki, beliau juga
merupakan seorang Muslim yang taat. Sudah
menjadi kebiasaan bagi Sultan Shalahuddin
membacakan Kitab Suci Al-Quran kepada
pasukannya menjelang pertempuran
berlangsung. Beliau juga sangat disiplin
mengqada setiap puasanya yang tertinggal dan
tidak pernah lalai mengerjakan solat lima waktu
sampai pada akhir hayatnya. Minumannya tidak
lain dari air kosong saja, memakai pakaian yang
terbuat dari bulu yang kasar, dan mengizinkan
dirinya untuk dipanggil ke depan pengadilan.
Beliau mengajar sendiri anak-anaknya mengenai
agama Islam.......” Seluruh kaum Muslimin
yang menyaksikan kewafatannya menitiskan air
mata apabila Sultan yang mengepalai negara
yang terbentang luas dari Asia hingga ke Afrika
itu hanya meninggalkan warisan 1 dinar dan 36
dirham. Tidak meninggalkan emas, tidak punya
tanah atau kebun. Padahal berkhidmat pada
kerajaan berpuluh tahun dan memegang
jawatan sebagai panglima perang dan Menteri
Besar sebelum menubuhkan Emirat Ayyubiyah.
Kain yang dibuat kafannya adalah betul-betul
dari warisan beliau yang jelas-jelas halal dan
sangat sederhana. Anak beliau yang bernama
Fadhal telah masuk ke liang lahad meletakkan
jenazah ayahnya. Dikatakan bahawa beliau
dikebumikan bersama-sama pedangnya yang
dipergunakan dalam setiap peperangan agar
dapat menjadi saksi dan dijadikannya tongkat
kelak pada hari kiamat. Rahimahullahu anh.
Ketika buku ini ditulis, Baitul Maqdis sedang
berada di dalam kekuasaan golongan 'Bintang
Enam' dengan negaranya yang dipaksakan. Jika
sekiranya ada kepala negara yang bersifat
seperti Sultan Shalahuddin di Timur Tengah
sana, insya Allah Baitul Maqdis dapat direbut
semula oleh kaum Muslimin.
Wallahu'alam....
Dipetik Dari Buku :
Kisah 85 Kekasih Allah (Kisah Pejuang Islam)
Darul Nu’man.
Oleh : Hj Ahmad Muhd Abd Ghaffar
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.
Tweet
ShareTweet
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
1 comment :
Perkongsian yang menarik!!
Post a Comment