Manusia Dalam Al-Quran | KHALIFAH

About

penaja 1

5 May 2013

Manusia Dalam Al-Quran

Manusia merupakan sebaik-baik makhluk ciptaan Allah yang dianugerahkan dengan akal fikiran untuk membezakan yang benar dan salah atau yang hak dan batil. Disebabkan itu, manusia diciptakan untuk menjadi khalifah dimuka bumi dan sebagai hamba Allah serta yang membezakan manusia paling mulia disisi Allah adalah dengan ketaqwaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 13 :

Maksudnya : "..Sesunggungnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

Tugas Manusia Dimuka Bumi

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 :

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

1-Tugas khalifah
  • Mengenal Allah
Mengenal Allah dan beribadah kepadaNya serta menjadi seorang hamba Allah yang baik. Ini merupakan tugas asas seorang khalifah. Manusia juga diwajibkan beriman kepada Allah serta dilarang melakukan syirik kepadaNya.

  • Mendirikan solat dan zakat
Mengerjakan solat dan zakat merupakan rukun Islam. Masyarakat yang menjaga solat merupakan masyarakat yang berprinsip dan immune dari melakukan maksiat kepada Allah. memberi zakat pula untuk menolong manusia yang berada di dalam kesusahan kerana harta merupakan amanah dari Allah supaya manusia memakmurkan hartanya di jalan Allah seperti sedekah.
  • Mengerjakan perintah Amar makruf dan Nahi mungkar
Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan aspek pengukuh kepada Islam dan setiap perkara yang membawa kepada kebaikan akan mendapat tentangan pelbagai pihak. Oleh itu, kesabaran amat diperlukan untuk berdakwah dan berjihad dalam menegakkan syariat Allah dimuka bumi.
  • Memakmurkan bumi dengan cara Islam
Cara Islam membangunkan manusia adalah dengan membangunkan manusia. Hal ini kerana manusia yang akan mendapat manfaat dari pembangunan. Pembangunan untuk manusia, bukan manusia untuk pembangunan. Pembangunan sebagai komponen agama bukannya agama sebagai komponen pembangunan.

PROSES ATAU PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA

Penciptaan manusia dapat dibuktikan melalui ayat-ayat didalam al-Quran bahawa Allah adalah sebaik-baik pencipta seperti yang dinyatakan didalam surah al-Mukminun ayat 12-14:

Maksudnya : 12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; 13. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh; 14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Nutfah

Mani disebut dalam al-Quran sebanyak 3 kali. Mani lebih khusus dari nutfah kerana nutfah adaah campuran mani lelaki dan perempuan. Menurut sains, jumlah sperma yng terkandung dalam air mani lelaki ketika ejakulasi ialah 200-300 juta yang kemudiannya berenang dan bertemu dengan ovum dalam tiub fallopio.

Apabila bertemu dengan ovum, setiap sperma akan cuba menembusi zonapellucida ovum dan biasanya hanya satu yang berjaya. Selepas itu, lapisan ovum akan menebal dan menghalang sperma lain untuk memasuki ovum. Percampuran ini akan membentuk zigot yang sama. Selepas zigot, pembentukan janin bermula dan rupa manusia ditentukan.

Dalam tempoh ini, jantina mula terbentuk melalui kromsom X dan Y daripada ibu dan bapa. Namun segalanya ketentuan dari Allah. sebagaimana firman Allah dalam surah al-Najm ayat 45 dan 46 :

Maksudnya : 45. dan Bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, - 46. dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke Dalam rahim).

Ketika bersenyawa dalam uterus, Allah namakan tahap kejadian ini dengan tiga kegelapan. Tiga kegelapan yang dimaksudkan ialah :

-kegelapan perut

-kegelapan rahim (uterus)

-kegelapan cecair dan uri yang menjaga rahim

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 6 :

Maksudnya : Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); dan ia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak delapan ekor: (empat) pasangan (jantan dan betina). ia menciptakan kamu Dalam kandungan ibu kamu (berperingkat-peringkat) dari satu kejadian ke satu kejadian. Dalam tiga suasana yang gelap-gelita. Yang demikian (kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu; bagiNyalah kekuasaan yang mutlak; tiada Tuhan melainkan dia; oleh itu Bagaimana kamu dapat dipesongkan (dari mematuhi perintahNya)?

‘Alaqah

Bermaksud sesuatu yang bergantung dan melekat, suatu buku atau ketulan darah. Ia ditafsirkan dengan segempal darah berdasarkan kepada pendangan mata kasar. Ia sebenarnya benda yang amat seni yang diselaputi darah. Proses penggantungan dan pembenaman embrio dalam dinding rahim (uterus).

Selepas persenyawaan, zigot akan mengalami pembahagian dan akan membentuk sel-sel yang lebih kecil. Pada hari ke-12-16, sel telah terbentuk dan dinamakan sebagai morula yang kemudiaanya membesar seperti bola dan dipenuhi cecair. Proses pemecahan sel dinamakan sebagai ‘alaqah. Peringkat pembentukan ‘alaqah pada minggu pertama atau hari ketujuh. Peringkat ini juga merupakan peringkat minggu pertama hingga ketiga di dalam rahim.

Mudghah

Bermaksud seketul daging yang dikunyah. Allah menyebutkan dua bentuk mudghah iaitu sempurna dan tidak sempurna. Pada peringkat ini, terbentuk blok-blok bersegmen yang dinamakan somit. Pasangan pertama mula kelihatan pada hari ke 19 dan 21 di bahagian arah kepala embrio. Menjelang akhir minggu kelima, terdapat 42-44 pasang somit. Usia embrio dikira mengikut bilangan somit-somit.

Pada peringkat ini, sudah terbentuknya otak, saraf tunjang, telinga dan anggota lain. Sistem pernafasan juga mula terbentuk dan jantung mula berfungsi atau berdegup. Seterusnya, darah akan mula mengalir dengan lebih banyak lagi bagi membekalkan oksigen dan pemakanan.

‘Izam dan lahm

Pada peringkat ini (minggu keenam dan ketujuh), terjadinya pembentukan tulang mendahului otot-otot. Ketika tulang belulang terbentuk menjadi otot, dan membungkus rangka tersebut. Pada akhir minggu ketujuh, terbentuk satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini, perut , usus, seluruh sistem saraf, otak dan tulang belulang. Sebagaimana firman Allah :

Maksudnya : kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Surah al-mukminun ayat : 5

Sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga paru-paru mula kelihatan. Malah, menjelang bulan ke-8 semua anggota telah lengkap dan sempurna.

Taswiah dan Taswir

Pada peringkat ini, menjelang akhir minggu ke-8, ia telah masuk ke peringkat janin dan pada bulan ke-3 semua tulang janin terbentuk dengan sempurna dan kukunya sudah mula tumbuh.

Pada bulan ke-4, pembentukan bayi yang dinamakan dengan fetus menjadi cukup lengkap menyebabkan kaki bayi dalam kandungan hanya menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud.

Nafkh al-ruh

Para ulama tidak dapat menentukan tarikh yang sebenar roh dimasukkan kedalam badan. Alam dunia dan alam kelahiran bukanlah tarikh bermula kehidupan menusia. Ia bermula dengan tiupan roh ke dalam jasad. Apa hakikat roh dan bagaimana bentuknya tidak diketahui manusia kerana itu hanya urusan Allah.

Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Surah al-Israa' ayat : 85

Kesimpulan

Allah menjadikan manusia dengan beberapa proses kejadian ini agar manusia berfikir tentang kejadiannya dan boleh mengaitkannya dengan keagungan dan kebesaran Allah s.w.t. Ini bukan bermakna Allah tidak boleh jadikan manusia sekelip mata tetapi ada hikmah yang besar disebalik penciptaan-Nya. Andai dilihat dari sisi pandang logik akal, penciptaan neraka itu juga menunjukkan Allah berkuasa mencipta sesuatu walhal pada masa yang sama Allah menyeru manusia untuk melakukan kebaikan agar beroleh natijah syurga di akhir kehidupan mereka. Semoga dengan sedikit pengetahuan mengenai proses kejadian manusia, sedikit sebanyak meningkatkan rasa kehambaan dan keimanan sekaligus mensyukuri nikmat hidup yang diberikan oleh Allah s.w.t.

PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.

 
 Share

 


TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..