Apa jawapan kalian di akhirat wahai pemimpin! | KHALIFAH

About

penaja 1

24 October 2014

Apa jawapan kalian di akhirat wahai pemimpin!

Oleh: ABD RAZAK MUTH ALIB, Perunding Latihan Dan Motivasi Di Aitc.

MERENUNG kisah Khalifah Umar bin Abd al-Aziz selepas beliau dilantik menjadi khalifah, amat meruntun jiwa dan perasaan. Pembesar yang menunggu kehadiran Umar bin Abd al-Aziz hairan kenapa beliau tidak muncul di khalayak ramai.

Lalu mereka bertanya kepada anaknya. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya.

Apabila ditanya, dia berkata: "Wahai Fatimah! Aku dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir perihal orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang di jauh, orang tua yang uzur, orang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis." (Lihat: Mahmud al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada al-Islam, 144)
menangis ingat akhirat

Masih ada lagikah pemimpin umat seperti ini? Menangis kerana takutkan saat bertemu Tuhan bagi menjawab segala amanah yang dipertanggungjawabkan. Apabila dilantik menjadi pemimpin, fikirannya kepada kebajikan rakyat, kerana ada yang susah dan melarat, lalu timbul rasa resah apakah jawapannya di akhirat.

Alangkah bahagianya jika kita berada di bawah pemerintahan pemimpin seperti ini. Nasib rakyat benar-benar terjaga. Jauh sekali terasa dianiaya. Suara penderitaan rakyat didengar dan dibela. Adil dan saksama. Kesusahan dan kesenangan dirasai bersama. Jawatan dan pangkat tidak disalah guna untuk kemewahan diri dan sanak keluarga.

Menjadi pemimpin bukanlah suatu yang mudah dan ringan bagi mereka yang sentiasa ingat bahawa akan ada hari perhitungan di hadapan Tuhan. Semakin tinggi jawatan, semakin berat amanahnya. Semakin berat amanah, semakin banyak soal bicaranya. Jika di dunia seorang pemimpin mampu bercakap keluarkan alasan itu dan ini bagi menghalalkan pengkhianatan amanah yang dilakukan, jangan harap untuk ulanginya di akhirat.

ALLAH SWT mengingatkan: "Pada waktu itu Kami meterai mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". (Surah Yaasin: 65)

Hanya sifat keadilan dan ketakwaan mampu menjamin nasib seorang pemimpin di akhirat kelak. Sebab itulah di dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW menyenaraikan satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat ialah pemimpin yang adil.

( KHALIFAH LINK:- http://khalifahalhidayah.blogspot.com )

Rakyat pilih pemimpin adil

Justeru menjadi tanggungjawab rakyat juga apabila ingin melantik pemimpin, kriteria yang dinilai ialah tokoh yang berwibawa, bijak, amanah dan mampu memerintah dengan adil.

ALLAH SWT berfirman:memerintahkan kita: "Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (ALLAH menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya ALLAH dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (Surah Al-Nisa': 58)

Rakyat perlu mengangkat pemimpin yang bijak, amanah dan adil. Malanglah bagi sebuah masyarakat jika yang dinilai layak menjadi pemimpin ialah mereka yang hartanya melimpah ruah, rumah tersergam indah, pakaian dan kereta serba mewah, tetapi amanah dan keadilannya punah ranah.

Tidak salah pemimpin kaya

Tidak salah untuk pemimpin menjadi kaya raya, asalkan kekayaan itu adalah hasil titik peluhnya secara halal. Mudah-mudahan kekayaannya itu dapat membantu menyempurnakan lagi tanggungjawabnya kepada rakyat jelata. Jika pemimpin yang diangkat hanya memikirkan kekayaan dirinya, maka akan terjadilah rakyat disuruh berjimat cermat, tidak membeli barangan yang mewah, sambil itu dia mengangkat telefon bimbit terbarunya dengan megah.

Ini satu musibah!

Islam tidak menghalang pemimpin mahupun rakyat untuk menjadi kaya. Tetapi biarlah ia diperolehi dan dinikmati secara halal, adil dan saksama. Kekayaan itu pula dimanfaatkan untuk meningkatkan kekuatan umat. Bukan untuk memuaskan nafsu tamak individu. Jika pemimpin kita kaya raya, tetapi rakyat masih ada yang merana, apakah patut kita berasa bangga?

Pemimpin yang dicari

Kita mencari pemimpin yang memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan berdasarkan syariat Islam. Said bin Suwaid di dalam khutbahnya pernah berkata: "Wahai manusia, sesungguhnya Islam mempunyai dinding yang kuat dan pintu yang utuh. Dinding Islam ialah kebenaran dan pintunya ialah keadilan. Islam akan sentiasa kuat selagi mana pemerintahnya bersifat tegas. Ketegasan pemerintah bukanlah membunuh dengan pedang atau memukul dengan cemeti tetapi dengan menegakkan perkara yang benar dan memerintah dengan adil." (Ibn Abd Rabbihi, al-'Aqd al-Farid, 1/33)

Pemimpin yang menjadikan akhirat sebagai matlamat, tidak akan tergamak untuk khianat kepada amanah rakyat. Rakyat akan dipimpin agar taat kepada ALLAH dan Rasul supaya dapat menuju akhirat dengan selamat.

Hayati ucapan khalifah pertama, Abu Bakr al-Siddiq semasa diberikan amanah pemerintahan: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku.

"Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya-ALLAH.

"Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan ALLAH timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan ALLAH dan Rasul-Nya. Jika aku derhakakan ALLAH dan Rasul-Nya, maka tiada ketaatan untukku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361)

Wahai pemimpin, kami dambakan keadilan, kejujuran dan keprihatinan kalian di dunia ini. Kami akan mati, kalian juga akan mati. Apa jawapan kita di akhirat nanti?

SINAR HARIAN

No comments :