Rasulullah Dan Pendita Yahudi, Zaid bin Sanah | KHALIFAH

About

penaja 1

26 October 2014

Rasulullah Dan Pendita Yahudi, Zaid bin Sanah

Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salam r.a bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.

Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam, mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.

Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."

Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."

Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka, akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."

Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah kami pinjam dari engkau."

"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.

Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang ditimpa bencana itu.

Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.

(KHALIFAH LINK:- http://khalifahalhidayah.blogspot.com )

Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa untuk membayar hutang!"

Mendengar kata-kataku yang kasar itu, wajah Umar bin Khattab merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."

Rasulullah memandang Pendita Yahudi tersebut dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma, bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah untuk menghilangkan rasa marahnya."

Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan kemarahan engkau."

"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.

"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."

"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.

"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.

Zaid bin Sanah menjawab, "Hai Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang yang marah itu.

Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad sebagai nabi dan ikutanku."

Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah, "Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."

Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di medan Perang Tabuk.

Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah akan membela Islam sehingga akhir hayatnya.

(sumber)

No comments :