MURTAD SAUDARA BARU | KHALIFAH

About

penaja 1

8 January 2012

MURTAD SAUDARA BARU

GAMBAR HIASAN
Berdakwah menyampaikan Islam adalah satu kewajipan, samada kepada orang Islam mahupun yang bukan Islam. Kepada sesama Islam ia merupakan hak antara seorang muslim dengan seorang muslim yang lain sebagaimana disebut dalam hadis: 
" Hak seorang muslim terhadap seorang muslim ada 6 perkara. Rasulullah ditanya: Apakah dia wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Apabila engkau bertemu hendaklah memberi salam kepadanya, apabila ia mengundang ke rumahnya maka hendaklah engkau memenuhi undangannya, apabila ia minta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila ia bersin lalu memuji Allah dengan alhamdulillah  maka doakan ia dengan yarkhamukallah dan apabila sakit lawatilah dan apabila ia mati hendaklah engkau mengiringinya." ( Riwayat Imam lima )

Dalam al-Quran Allah s.w.t telah menyatakan:
"Berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman" (Surah az-Zariyat:55 )

"Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang yang beriman, dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Surah al-Asr: 1-3)

Kepada orang yang bukan Islam pula kita hendaklah berdakwah menyampaikan Islam dengan cara yang berhikmah dan sekali-kali tidak boleh memaksanya menerima Islam. Memaksa orang memeluk Islam menjadikan tidak sah Islamnya. Fiman Allah s.w.t:

" Tidak ada paksaan dalam menganut Islam."(Surah al-Baqarah: 256)
"Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (bijaksana) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang sesat daripada jalannya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah."  ( Surah an-Nahl:125)

Kita amat berbangga bila ada orang bukan Islam menganut Islam. Kita juga tidak meletakkan apa-apa syarat kepada mereka, sekadar mengharapkan mereka menjadi muslim yang sejati. Bimbingan sentiasa diberikan oleh Bahagian Pembangunan Insan MAIS. (Unit yang bertanggungjawab tentang saudara baru). Namun kita tidak pula pasti niat mereka yang memeluk Islam. Ada yang memang ingin menganut Islam kerana melihat keindahan dan kebenaran Islam. Ada juga yang menganut islam kerana faktor perkahwinan.

Di negara kita tidak terdapat peruntukan undang-undang dalam Jenayah Syariah kepada mereka yang keluar dari agama Islam. Rosaknya iman adalah disebabkan oleh tiga faktor, iaitu akidah, perkataan dan perbuatan. Rosaknya Iman dan Islam disebut sebagai "riddah". Para ulamak mentakrifkan riddah sebagai berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam. Orang yang melakukan yang demikian dinamakan murtad. Riddah ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur.

Mengikut Hukum Islam orang telah murtad hendaklah dipujuk, nasihat, kaunseling sebanyak tiga kali. Jika tidak mahu juga taubat maka hendaklah dihukum mati dengan dipancung pada tengkoknya. Ia adalah jenayah agama yang paling besar.

Hadis riwayat ibnu Abbas r.a ia berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya."

Di mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kini sedang berlangsung puluhan  perbicaraan dan sebutan kes permohonan murtad saudara baru. Saya berkesempatan menjadi wakil kepada Defenden kedua iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada lebih 10 kes permohonan murtad dari saudara baru. Defenden pertama ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Defenden ketiga ialah Pendaftar Muallaf Negeri Selangor dan Peguam dari Jabatan Pendaftaran Negara juga turut dipanggil dalam kes ini.

Di Negeri Selangor, termasuk di Malaysia tidak ada sebarang peruntukan bagi kes murtad. Maknanya orang memohon murtad tidak akan didakwa dan mahkamah akan memberi kebenaran secara percuma sahaja. Apa yang saya nampak  kes ini hanya dilewat-lewatkan sahaja. Di antara kes yang saya hadiri, ada kes telah didaftarkan sejak tahun 2005 dan belum selesai lagi. Plantif yang hadir pun sudah mengamalkan agamanya yang asal. Ada satu kes itu pula, bila saya berpeluang bertanya kepada plantif sebab apa nak keluar dari agama Islam, maka dengan rasa bangganya beliau menyatakan bahawa dia masuk Islam hanya kerana mahu berkahwin dengan wanita Islam dan apabila perkahwinannya telah gagal dan bercerai dengan isterinya dan mendapat 2 orang anak maka ia memohon keluar Islam kerana hendak berkahwin dengan wanita yang seagamanya. Plaintif mengaku bahawa sepanjang memeluk Islam beliau tidak pernah solat, ke masjid, puasa atau mengamalkan syariat Islam dan rasa tidak seronok berada dalam Islam kerana semua yang dia inginkan tidak dibenarkan Islam.

Sebagai seorang Muslim kita rasa sedih kerana kita di MAIS, JAIS gagal mendidik mereka kekal dengan Islam. Dalam masa yang sama kita rasa tercabar dan hina kerana Islam sebagai agama yang suci dan benar hanya dijadikan batu loncatan semata-mata. Saya menyarankan bahawa JAIS dan MAIS perlu mengadakan undang-undang pencegahan iaitu adakan undang-undang yang menepati syariat ataupun yang boleh mencegah dan mengawal mereka yang memohon murtad. Biarlah sekurang-kurangnya orang yang ingin masuk Islam tahu bahawa jika mereka berbalik ke agama mereka sesudah Islam maka ada peruntukan undang-undang yang menghukum mereka. Biarlah kita dianggap kedekut hendak menerima orang masuk Islam tetapi biarlah sedikit bilangan orang yang masuk Islam tetapi berkualiti.

JAIS dan MAIS dengan kerjasama NGO'S Islam mengadakan program-program pemantapan yang berterusan kepada golongan muallaf supaya mereka istiqamah dengan Islam. Hadis di bawah mungkin boleh dijadikan panduan supaya memujuk, kaunseling, menasihat orang yang murtad lebih dari tiga kali.

Dari Abi Musa Al-Ashaari r.a bahawa Nabi s.a.w memerintahkan kepadanya dengan sabdanya: "Pergilah engkau ke Negeri Yaman". Kemudian baginda s.a.w menghantarkan Muaz bin Jabal selepas pemergiannya. Apabila Muaz sampai ketempat abu Musa, Abu Musa menyambutnya dengan memberikan sebiji bantal alas duduk serta berkata: "Silakan duduk" dan disitu ada seorang lelaki yang bergari lalu Muaz bertanya: "Siapakah orang ini?". Abu Musa menjawab: " Orang ini ialah seorang Yahudi, ia masuk Islam kemudian ia berbalik menjadi yahudi semula (murtad)."  Muaz berkata: "Aku tidak akan duduk sehingga dia dibunuh itulah hukuman Allah dan Rasulnya"( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Riwayat Abu Daud dalam kisah ini: " Maka dibawa kepada Abu Musa Al-Ashaari seorang yang telah murtad, lalu disuruhnya bertaubat memeluk Islam semula selama kira-kira 20 malam, kemudian datang Muaz serta menyuruhnya bertaubat tetapi orang itu enggan, lalu dipenggal lehernya.


No comments :