HUKUM WANITA BERSOLAT TANPA MEMAKAI TELEKUNG | KHALIFAH

About

penaja 1

30 March 2012

HUKUM WANITA BERSOLAT TANPA MEMAKAI TELEKUNG

Pada mulanya, saya tidak berminat untuk memperkatakan perkara ini, saya kira semua sudah maklum akan hukumnya wanita yang bersolat tanpa memakai telekung.


Pada anggapan saya, rata- riti sudah mengerti dan isu ini tidak perlu diperkatakan lagi. Tapi setelah ‘mengembara’ ke facebook rakan-rakan dan ke youtube, ternyata salah faham tentang perkara ini masih lagi membelit segelintir umat islam. Saya amat yakin, semua ini berpunca apabila kelaziman dan kebiasaan telah dijadikan sandaran dalam menghukum, akibatnya si penghukum menjadi sangat anti terhadap apa-apa sahaja yang menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman. Saya juga amat yakin, andainya tidak dirungkai, salah faham ini akan terus melebar tanpa sekatan dan meluas tanpa sempadan.
 

  
(pemakaian telekung yang begitu
sinonim dengan muslimah melayu)
Kat facebook, seorang rakan saya telah mengupload gambar wanita yang bersolat tanpa memakai telekung ini. Respons atau komen yang diterimanya laris sekali. Ada yang memberikan komen berdasarkan kefahaman dalam beragama. Tapi ada juga yang berhujah persis orang yang mandul akal, bagi mereka telekung berwarna putih itu adalah uniform wajib untuk seseorang wanita bersolat.
Jadi, berpunca dari ini, saya tergerak hati untuk menulis entry ini. Kata-kata seorang rakan blogger yang berbangsa Kadazan (bluedianthus ) kat shoutmix saya beberapa ketika yang lalu kembali segar dan bugar di ingatan “buatlah entri yang sekurang2nya boleh bagi input kepada pembaca. Kalau blog digunakan utk kebaikan..banyak pahalanya.. yup..rasa macam diri ni berguna kan”


Terus kepada tajuk, hukum wanita yang bersolat tanpa memakai telekung adalah sah, tetapi dengan syarat pakaian itu hendaklah menutupi aurat dan bersih daripada najis. Jadi apa sahaja pakaian dan apa sahaja warnanya, baik baju kurung, seluar, jubah atau apa sahaja, yang penting menutup aurat dan bersih daripada najis. 

Tentang aurat bagi wanita ketika bersolat, ia sama sahaja dengan aurat di luar solat ( kecuali kategori aurat ketika bersendirian dan aurat ketika bersama mahram ), iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Jadi, jika syarat ini telah dipenuhi, maka sahlah solat wanita tersebut walaupun tidak memakai telekung atau ‘uniform’ solat yang berwarna putih tersebut.

 Menutup aurat juga perlu diperbetulkan takrifnya. Memakai pakaian yang ketat hingga menampakkan bentuk(shape) badan dan nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan, tidaklah dianggap menutup aurat dengan sempurna. Oleh itu baju kebaya, tidak boleh sama sekali dibuat bersolat dan ia juga dianggap tidak menutup aurat dengan sempurna.
 
Kesimpulannya pakaian yang hendak digunakan untuk bersolat mestilah agak longgar (tidak sempit atau ketat) dan agak tebal ( tidak nipis dan jarang). Itu sahaja, mudah dan senang. Itulah wajah islam yang sebenar yang tidak sesekali merumitkan penganutnya.
 
Di sini, saya sama sekali tidak bermaksud ingin menyalahi kebiasaan dan menyanggahi kelaziman, cuma ia sekadar ingat mengingatkan dan nasihat menasihati sesama kita. Untuk pengetahuan sahabat, di Kelantan, telah berkali-kali Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat( tolong jangan tafsrikan ini sebagai entry politik, walaupun saya telah menyentuh nama seorang tokoh politik) memperbetulkan salah faham ini menerusi kuliah mingguannya di Dewan Zulkifli Muhammad Kota Bharu. Katanya, telekung dan warna putih bukanlah syarat untuk bersolat. Ia cuma kebiasaan masyarakat terutamanya di sekitar Nusantara. Kata Tok Guru lagi, boleh sahaja bersolat tanpa memakai telekung asalkan menutup aurat.

Jika kita perhatikan, terdapat segelintir wanita mengabaikan solat ketika leka membeli belah di Shopping Kompleks. Alasannya tak bawa telekung atau telekung yang disediakan di surau kat shopping kompleks kotor dan tak menyenangkan. Yang agak beragama pula memberikan jawapan yang terlalu menyimpang dari landasan agama, iaitu nak qada solat kat rumah nanti. Entah kitab mana yang dirujuk dan entah ulama mana yang dijadikan sandaran.
 
Sebenarnya, Qada solat adalah untuk orang yang meninggalkan solat tanpa sengaja seperti tertidur dan terlupa. Bagi yang meninggalkan solat secara sengaja,termasuk dengan alasan tidak bawa telekung hukumnya berdosa besar( malah sesetengah ulama menghukumnya sebagai kafir). Pelakunya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan menqada solat yang ditinggalkan itu sesegera mungkin.

Jadi dalam situasi sebegini, jika wanita tersebut telah memakai pakaian yang memenuhi kriteria menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan, maka wanita tersebut boleh langsung bersolat dengan pakaian tersebut.


1 comment :

I-Azha said...

Alhamdulillah..satu lagi info yg amat berguna.Mmg benar kebiasaan & kelaziman itu tak semestinya betul.Kita mesti membuka fikiran utk menerima sesuatu yg kita tidak biasa lakukan kerana kebenaran & kefahaman itu tidak akan kita perolehi selagi kita tidak membuka hijab yg menutup fikiran kita selama ini