Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda:
“Sekiranya
seekor lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang dari kamu, maka
celuplah ia. Kemudian buanglah ia kerana salah satu sayapnya mempunyai
racun, dan disebelah yang lain mempunyai penawar.”[Hadis Sahih Riwayat Bukhari (3320), Abu Daud (3844), Ibnu Majah (3505)]
PENGERTIAN UMUM
Hadis
ini menjelaskan, sekiranya lalat termasuk ke dalam bekas minuman, maka
janganlah tergesa-gesa memandang hina makanan tersebut lalu membuangnya,
bahkan perlulah mencelup atau menyelamkan lalat itu di dalam bekas
terlebih dahulu, kemudian barulah membuang serangga tersebut. Tidak
menjadi masalah untuk meneruskan makan dan minum di dalam bekas yang
pernah mengandungi lalat. Ini adalah disebabkan, sebelah kepak sayap
lalat yang jatuh ke dalam air itu mengandungi racun, manakala disebelah
lain pula mengandungi penawarnya.
KELEBIHAN LALAT
Disebutkan di dalam kitab Musnad Abu Ya`la:
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. telah berkata:
“Umur lalat adalah selama 40 malam, dan kesemua lalat akan berada di dalam neraka kecuali lebah”[Ibnu Hajar mengulas: Sanad hadis ini tidak mengapa]
Keberadaan lalat di dalam api neraka bukanlah untuk di seksa, bahkan ia ditempatkan disana bagi menyeksa ahli neraka.
Sains moden pula, menjadikan lalat buah, khususnya "drosophila melanogaster"
sebagai bahan kajian utama bagi mengenali penyakit dan penawar bagi
manusia. Nabi Muhammmad dalam hadis ini menyebutkan berkenaan rahsia
lalat dalam konteks perubatan dan ahli-ahli sains membuktikan
kebenarannya pada hari ini.
HUKUM AIR YANG MENGANDUNGI LALAT
Majoriti
ulama berpandangan: Air yang sedikit tidak menjadi najis sekiranya
dimasuki dengan sesuatu yang tidak najis. Oleh itu, air yang mengandungi
lalat tidaklah najis, kerana menjadi suatu kemustahilan apabila
Rasulullah mengarahkan
umatnya mencelupkan sesuatu najis ke dalam air minuman. Ibnu Qayyim
mengulas: ini adalah pendapat majoriti ulama yang tidak diketahui dari
mana-mana salaf yang berselisih terhadapnya.
Sebahagian
ulama yang lain pula berpandangan: Tujuan hadis ini bukanlah untuk
menjelaskan kesucian air, tetapi menerangkan cara perubatan yang
disebabkan oleh masalah lalat. Ibnu Hajar mengulas: ini adalah pendapat
yang benar, akan tetapi tidaklah terhalang dari mengambil hukum yang
lain.
KELEBIHAN MENCELUP LALAT
Mampu
mengeluarkan penawar yang ada di sebelah sayap lalat yang terjatuh di
dalam air. Bahkan, makanan atau minuman itu pula boleh diminum mengikut
kadar kesanggupan.
MENJAWAB DAKWAAN ORANG YANG MENENTANG HADIS INI
Sebahagian orang Islam dan orang bukan Islam telah memperolok-olokkan hadis ini. Diantara mereka, ada yang mengatakan:
Bagaimana
boleh berkumpul antara racun dan penawar pada sayap lalat? Bagaimana
pula lalat boleh tahu sehingga dia mampu mendahulukan sayap yang
mempunyai racun dan melambatkan sayap yang mempunyai penawar? Apa yang
membuat ia begitu pandai??
Imam al-Khatabi berkata:
“Ini adalah pertanyaan orang yang benar-benar jahil atau memang hanya
berpura-pura jahil. Seorang yang dapat merasai kehidupan dalam dirinya
dan kehidupan keseluruhan haiwan, dia akan mendapati bahawa terkumpulnya
hawa panas dan sejuk, kering dan basah yang saling berlawanan dimana
apabila bertemu maka akan saling merosakkan. Tetapi Allah mampu untuk
menyatukannya dan menjadikannya sebagai kekuatan haiwan agar tidak ada
orang yang akan mempertikaian akan terkumpulnya penyakit dan ubat dalam
satu haiwan. Dialah yang memberi ilham kepada lebah untuk membuat rumah
yang sangat menakjubkan serta mengeluarkan madu dan Dia juga yang
memberi ilham kepada semut agar mencari makanan rujinya serta disimpan
untuk keperluan hidupnya, Dialah yang menciptaan lalat dan mengajarnya
agar mengedepankan sayap penyakit terlebih dulu kemudian sayap penawarnya.
Semua itu adalah keinginan Allah untuk menguji hamba-Nya supaya wujud
ta’abbud (ibadah). Pada segala sesuatu terdapat pelajaran dan hikmah.
Dan tidak ada yang dapat memahaminya kecuali orang-orang yang berakal”
[Maalim Sunan 4:239]
Ibnu
Jauzi Juga mengatakan: Apa yang disebutkan itu tidaklah aneh, kerana
lebah pun mengeluarkan madu dari bahagian atasnya, dan mengeluarkan
racun dari bahagian bawahnya.
KAJIAN SAINTIFIK
Kajian saintifik telah mendapati bahawa, lalat akan mengeluarkan unsur-unsur kecil dari jenis enzim yang dinamakan bacteriphages iaitu, suatu organisma kuman yang merosakkan hidupan lain. Ianya merupakan kuman yang sangat kecil, bersaiz panjang 20;25 mµ. Oleh itu, apabila lalat jatuh ke dalam air, hendaklah lalat tersebut dicelup kerana ia akan mengeluarkan kuman bacteriphages yang menentang bakteria perosak.
Pernah
terjadi di Negara India pada tahun 30an. Mereka dilanda wabak taun
(Kolera). Sehinggakan, ada yang mengatakan; rakyat india akan mati
disebabkan taun. Dan lalatlah puncanya, lalat tidak menyihatkan dan
tidak pula menyembuhkan.. semua rakyat akan mati..
Namun,
selepas dua minggu, pengamal perubatan telah mendapati rakyat India
semakin pulih. Mengapa? Ada sebab: kerana lalat telah menukar bakteria
yang menyebabkan penyakit ini. Dan menukarnya menjadi sesuatu yang lain,
yang dinamakan bacteriphagesyang
membunuh bakteria menggunakan sayap kedua. Lalat turun ke sumur-sumur,
dan masuk ke dalam air dan membunuh bakteria. Rakyat India minum, dan
mereka sembuh. Bermulalah kesihatan secara perlahan-lahan dalam tubuh
mereka.
[Mausuah Az-Zahabiah:1017]
M.A.
Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika
‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium
karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini
kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah
kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan
kuman-kuman bakteria dan membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula
mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman
bahaya seperti Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii.
Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati
larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein
yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan
dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.
Penemuan-penemuan
ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat
luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun
popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik.
Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular
semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan
oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di Sound Medicine: October 10,
2010
Sebagai
contoh, ia dicadang untuk digunakan bagi merawat luka disebabkan
kencing manis. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Diabetes Health terbitan
Mac 1995. Antara institusi perubatan yang telah menggunakan pendekatan
ini ialah Long Beach Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula
pakar-pakar perubatan melaporkan mereka berjaya merawat sebelas kes luka
yang teruk dengan menggunakan larva lalat. Kaedah ini berjaya mengawal
infeksi kuman dan menyelamatkan kes-kes ini dari pembedahan amputasi.
Hal ini dilaporkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases.
Wallahu Alam.
________________
Syihabudin Ahmad Mohd Yatim.
Kuliah Dirasat Islamiah, Syukbah Syariah Islamiah,
Universiti al-Azhar Dumyat.
Rujukan :
· Ar-Ruh wal Raihan Fi Ahadis Ahkam , Dr Syed Ahmad Muhammad Sahlul, Dar al-Islamiah , Cetakan Pertama 2011.
· Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, Dr. Danial bin Zainal Abidin. Terbitan PTS Publication.
Kredit : Sumber
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.
Tweet
ShareTweet
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
No comments :
Post a Comment