Sejarah Kemunculan Mazhab Awal Dalam Islam | KHALIFAH

About

penaja 1

4 March 2013

Sejarah Kemunculan Mazhab Awal Dalam Islam

Sejurus selepas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W wafat pada 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah atau8 Jun 632 Masehi, berlaku krisis kepimpinan di kalangan umat Islam ketika itu. Ini adalah disebabkan semasa hayat baginda, Rasulullah S.A.W tidak pernah menyatakan siapakah pengganti baginda secara jelas malahan juga tidak berwasiat kepada sesiapa pun daripada para kalangan sahabat untuk menjadi khalifah selanjutnya.

Kekecohan dalam menentukan kepimpinan umat Islam seterusnya bermula apabila sekumpulan penduduk Ansar (sahabat yang berasal dari Madinah) diketuai oleh Sa'ad bin Ubadah (ketua suku Khazraj) berhimpun di suatu tempat bernama Saqifah Bani Sai'dah untuk menentukan khalifah (pengganti Nabi).

Sebaik sahaja mendengar berita tersebut, kaum Muhajirin (para sahabat yang berasal dari Makkah) dipimpin oleh Abu Bakar as-Siddiq juga bertindak menuju ke tempat yang sama hingga menimbulkan perselisihan yang di antara kedua kelompok ini. Pada masa yang sama Ali bin Abi Talib bersama Siti Fatimah tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut kerana sibuk menguruskan pemakaman Rasulullah S.A.W.

Akhirnya demi perpaduan umat Islam, pimpinan kedua belah pihak telah berkompromi dan mencapai kata putus dengan melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Perlantikan ini dipersetujui kerana beliau dianggap sebagai sahabat nabi yang paling kanan dan sering menjadi imam solat semasa keuzuran baginda. Abu Bakar menjadi khalifah selama 2 tahun 3 bulan dan 10 hari.

Sebelum wafat pada bulan Jamadil Akhir tahun 12 Hijrah, beliau sempat meninggalkan wasiat supaya Umar bin al-Khattab dilantik sebagai khalifah yang kedua dan keputusan ini diterima baik oleh semua kaum muslimin tanpa sebarang bantahan. Umar bin al-Khattab memegang tampuk kepimpinan umat Islam selama 10 tahun 6 bulan dan beliau telah wafat pada 16 Zulqaedah tahun 23 Hijrah.

Kematian Umar adalah akibat dibunuh oleh musuh dari daerah-daerah yang pernah ditakluk oleh beliau sedikit masa dulu. Sebagaimana Abu Bakar, Umar juga sempat berwasiat mengenai perlantikan khalifah seterusnya. Beliau mahu agar pemilihan tersebut kelak dibuat melalui jalan musyawarah dan melarang memilih anaknya Ibnu Umar (Abdullah bin Umar bin Khattab) sebagai pengganti.

Akhirnya, Uthman bin Affan telah dipilih sebulat suara untuk menjadi khalifah Islam yang ketiga dan berkhidmat selama 10 tahun iaitu dari 25 Hijrah hingga 35 Hijrah. Sepanjang tempoh pemerintahan sebagai khalifah, beliau tidak banyak terlibat dalam usaha-usaha meluaskan pengaruh Islam, sebaliknya lebih banyak menumpukan usaha untuk membuat penyusunan Mashaf al-Quran. Beliau berbuat demikian kerana menyedari ramai hafiz Quran mati syahid akibat peperangan ketika era pemerintahan Abu Bakar dan Umar.

Semasa pemerintahan Uthman ini, datang seorang pendeta besar Yahudi dari Yaman yang telah memeluk Islam sekitar tahun 30 Hijrah bernama Abdullah bin Saba'. Beliau (Abdullah bin Saba'), menyangka kedatangannya sebagai seorang ''saudara baru'' yang berstatus pendeta besar akan disambut dengan meriah dan penuh kehormatan oleh Khalifah Uthman. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya kerana Uthman langsung tidak mempedulikan kehadiran pendeta tersebut sebaliknya sibuk dengan urusan pengumpulan dan penyusunan al-Quran.

Keadaan ini menyebabkan Abdullah bin Saba' tidak berpuas hati dan membangunkan gerakan anti-Uthman. Beliau telah bertindak menyusup masuk ke dalam kelompok tentera Muslimin dan menghasut mereka agar membenci Uthman. Abdullah bin Saba' cuba memporak-perandakan perpaduan di kalangan mereka dengan mengubah hadis yang seolah-olah menggambarkan bahawasanya Ali bin Abi Talib adalah khalifah Islam yang sebenarnya.

Abdullah bin Saba' juga telah mengubah hadis daripada Aisyah yang menyatakan bahawa Rasullullah S.A.W ada berwasiat bahawa Ali bin Abi Talib akan menjadi khalifah selepas baginda. Justeru itu, Abdullah bin Saba' memandang rendah malahan membuat penghinaan terhadap Abu Bakar, Umar dan Uthman dengan mendakwa bahawa ketiga-tiga sahabat ini telah merebut kuasa serta tidak mematuhi wasiat baginda Rasullullah S.A.W.

Dia menyatakan bahawa ketinggian darjat Ali yang juga sepupu dan menantu Rasullullah S.A.W membuktikan betapa masih ada pertalian darah Ali dengan baginda S.A.W. Propaganda Abdullah bin Saba' ini sedikit demi sedikit telah mempengaruhi di kalangan umat Islam ditambah lagi dengan faktor kelemahan Uthman sendiri. Beliau mengamalkan nepotisme dengan melantik kalangan keluarga di dalam pentadbiran negara dan menjadi pengusaha-pengusaha daerah dan telah menghilangkan cincin perak (stempel) Rasullullah S.A.W.

Akhirnya, agenda Abdullah bin Saba' ini telah membuahkan kejayaan dengan tragedi pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah. Hasilnya, umat Islam sama ada yang menyokong Uthman mahupun sebaliknya telah sepakat melantik Ali bin Abi Talib sebagai Khalifah keempat.

Semasa pemerintahan Ali, bermulanya perpecahan besar di kalangan umat Islam. Ini adalah disebabkan ada di kalangan para sahabat yang menuduh Ali terlibat dalam perebutan kuasa untuk menjadi khalifah dengan membunuh Uthman lantas menuntut qisas (hukum balas) atas tragedi tersebut.

Sebaliknya terdapat juga golongan pro Ali yang mempunyai pendapat sendiri mengenai perlantikan beliau sebagai khalifah. Senario ini telah menyebabkan para sahabat Rasullullah S.A.W membentuk golongan-golongan sendiri bergantung kepada intipati ijtihad masing- masing. Apa yang jelas, sepanjang pemerintahan Ali bin Abi Talib para sahabat telah berpecah menjadi empat golongan besar iaitu :-
  1. Golongan Syiah dan sebahagian kaum Ahli Sunnah di Madinah yang menjadi penyokong Khalifah Ali,
  2. Golongan pendukung Mu'awiyah bin Abi Sofyan yang terdiri daripada para penguasa (gabenor) di Damsyik (Damaskus) dan Suriah (Syria). Mereka menuduh Ali bersekongkol dengan pembunuh Uthman bin Afffan lantas bertindak mengangkat Mu'awiyah sebagai khalifah. Akibatnya terdapat dua orang khalifah pada masa yang sama iaitu Ali di Madinah dan Mua'wiyah di Damaskus;
  3. Golongan yang dipimpin oleh Siti Aisyah Ummul Mu'minin iaitu isteri Rasullullah S.A.W dan diikuti oleh Talhah serta Zubair. Mereka tidak mengiktiraf Ali sebagai Khalifah, tetapi tidak menganggap Ali terlibat dalam pembunuhan Uthman bin Affan. Siti Aisyah tidak berada di Madinah ketika peristiwa pembunuhan itu berlaku. Sementara itu, Thalhah dan Zubair telah diancam dengan pedang di atas kepala supaya bersetuju mengangkat Ali sebagai Khalifah
  4. Golongan yang dikepalai oleh Ibnu Umar (Abdullah bin Umar bin Khattab), diikuti oleh Muhammad bin Salamah, Uthman bin Zaid, Sa'ad bin Abi Waqas, Hasan bin Tsabit, Abdullah bin Salam. Mereka tidak mengiktiraf kepimpinan Ali, tidak menuduh Ali terlibat dalam komplot pembunuhan Uthman dan juga tidak menjadi pendukung Khalifah Mua'wiyah.

Perpecahan tersebut telah memberi impak besar ke atas perpaduan umat Islam ketika itu dan menyebabkan berlakunya peperangan saudara di antara sahabat nabi. Perang saudara yang pertama berlaku pada tahun 36 H dinamakan Perang Jamal (Perang Unta) melibatkan pengikut Siti Aisyah melawan Khalifah Ali. Ia berakhir dengan kemenangan di pihak Ali dan mengorbankan dua orang sahabat Nabi iaitu Thalhah dan Zubair yang berada di pihak Siti Aisyah.

Peperangan saudara kedua yang dianggap terbesar pula berlaku di antara pengikut Mu'awiyah melawan Khalifah Ali berlaku pada tahun 37 H. Pertempuran hebat kedua-dua pihak ini yang juga terkenal dengan panggilan Perang Siffin telah ditamatkan dengan proses gencatan senjata. Walau bagaimanapun, peperangan ini bukan sahaja telah mengorbankan nyawa para sahabat Nabi S.A.W tetapi telah menimbulkan salah faham dalam bidang politik sehingga melibatkan isu akidah. 


PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.

 
 Share

 

TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..

1 comment :

THE AUTHOR said...

Lama tak updated blog..
Terima kasih atas perkongsian..