Siapa Iblis | KHALIFAH

About

penaja 1

21 May 2013

Siapa Iblis

Oleh: Ustaz Shauqi

Iblis adalah makhluk Allah yang derhaka dari keturunan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: 

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.

Menurut Syeikh al-Turayhi, perkataan iblis berasal daripada ablasa yang bermaksud putus asa daripada rahmat Allah. Ibn `Abbas dan Qatadah menyatakan bahawa nama Iblis dalam bahasa Ibrani ialah `Azazil. Manakala dalam tafsir Ibn Kathir menyebut bahawa nama iblis dalam bahasa Arab adalah al-Harith. Dalam kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra disebut bahawa kunyah atau nama panggilan bagi iblis ialah Abu Murrah.

Perkataan ‘Iblis’ telah disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Manakala kisah Adam a.s bersama Iblis pula disebut oleh Allah SWT sebanyak tujuh tempat di dalam al-Quran al-Karim. Surah-surah yang mengandungi kisah-kisah tersebut ialah; Surah al-Baqarah, al-A'raf, al-Hijr, al-Isra', al-Kahf, Taha dan Sad. Dalam surah al-Baqarah ayat 34, Allah berfirman yang bermaksud: 

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

(read more: http://khalifahalhidayah.blogspot.com)

Di dalam ayat ini Allah SWT telah menceritakan bermulanya kesesatan Iblis dengan keengganannya menurut perintah Allah iaitu sujud kepada Adam. Sujud yang dimaksudkan di sini adalah sujud sebagai tanda kemuliaan bukan sujud sebagai pengabdian. Iblis mengungkit asal kejadiannya daripada api yang kononnya lebih mulia daripada asal kejadian Adam a.s iaitu tanah. Api mampu melonjak tinggi dan bercahaya lebih mulia daripada tanah yang bersifat pasif pada sudut pandangan Iblis.

Inilah analogi (qiyas) yang telah dilakukan oleh Iblis menurut pemikirannya. Malangnya analogi tersebut adalah salah. Dalam al-Tafsir al-Munir karangan Syeikh Wahbah al-Zuhayli disebut bahawa kebaikan tidak boleh dinilai berdasarkan unsur-unsur material sebaliknya ia dinilai berdasarkan unsur-unsur maknawi yang lebih berfaedah iaitu ilmu dan pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Adam a.s. Akibat kesombongan dan kesesatan Iblis, Allah telah mengusirnya dari syurga yang penuh dengan kemuliaan dan kebahagiaan. Namun Iblis telah memohon supaya dia diberi tempoh hayat sehingga berlaku kiamat kerana mahu menyesatkan manusia.

Menurut al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur, pada suatu ketika, Allah SWT telah memerintahkan jin yang bernama Iblis untuk mengepalai para malaikat untuk memerangi para jin yang melakukan kerosakan di bumi. Lalu, mereka berjaya diusir ke pulau-pulau dan bukit bukau. Iblis merasa bangga dan bongkak atas kejayaannya itu. Namun kebongkakannya itu tidak sedari oleh para malaikat. Justeru, punca yang menghalangi Iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah sifat bongkak, sombong dan riak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam. Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 12 bermaksud : " Allah berfirman: 

"Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang Dia Engkau jadikan dari tanah.".

Seterusnya Iblis dengan angkuhnya mengisytiharkan permusuhan yang abadi dengan manusia. Allah berfirman dalam surah Sad ayat 82-83 bermaksud: 

 “Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), Aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan".

Allah telah memberikan keizinan kepada iblis untuk mempunyai usia yang panjang. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa ciri yang paling utama daripada Iblis adalah dia kekal hidup hingga ke hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah SWT. Dalam surah Sad ayat 79-81, Allah SWT menyatakan yang bermaksud: 

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ". Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh hingga ke hari masa yang termaklum ". 

Begitu juga dalam surah al-A`raf ayat 14-15, Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

Iblis berkata: berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".

sumber  http://www.ustazshauqi.com


PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.

 
 Share

 


TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..