Kisah sedih Bilal Bin Rabah RA | KHALIFAH

About

penaja 1

23 July 2014

Kisah sedih Bilal Bin Rabah RA



Bilal bin Rabah adalah seorang lagi tokoh sahabat Rasulullah S.A.W. yang kedua pentingnya dalam menegakkan syiar Islam. Kisah ataupun riwayat hidupnya sebelum dan sesudah memeluk agama Islam adalah merupakan suatu kisah yang amat memilukan bagi kaum muslimin yang mengetahui.

Beliau merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang paling rapat. Kemana sahaja Rasulullah S.A.W. pergi dia tetap bersama dengannya.

Bilal bin Rabah pada asalnya adalah seorang hamba kepada sahabat karib Abu Jahal yang bernama Umaiyah bin Khalaf. Menurut riwayat, setelah Umaiyah mengetahui bahawa Bilal telah memeluk agama Islam, Umaiyah telah menyiksanya dengan cara yang amat kejam sekali.

Pernah suatu ketika beliau telah didera di tengah padang pasir dalam keadaan ditelentangkan dengan badan yang ditelanjangkan. Di tengah padang pasir dan di bawah keterikan panas matahari yang membakar itu beliau telah dipukul oleh beberapa orang tukang pukul dari golongan kaum Quraisy. Tujuan mereka berbuat begitu ialah agar Bilal kembali kepada agama asalnya.

Oleh kerana keimanan Bilal begitu menebal, meereka tidak Berjaya mengubah akidahnya. Sebaliknya semakin hebat dia disiksa semakin galak dia mengingati Allah S.W.T. Semasa dia disiksa dia tidak henti-henti menyebut: “ Ahad! Ahad!”

Semakin kuat Umaiyah menyiksa dia semakin galakdia menyebut ayat itu.

Melihatkan Bilal bersikap teguh dengan pendiriannya, lantas Umaiyah menampar mukanya dan berkata :” Hei budak jahat, engkau benar-benar celaka, aku mahu kau menyebut lata dan uzza.”

Namun demikian, walaupun dia disiksa dengan sebegitu kejam akan tetapi pada Bilal itu hanyalah merupakan menambahkan keimanan terhadap agama yang telah diyakininya itu.

Setelah melihatkan segala tindakannya terhadap Bilal tidak mendatangkan kesan maka Umaiyah pun pergi berjumpa dengan Abu Jahal. Setibanya dia di rumah Abu Jahal maka Umaiyah pun bermuafakat dengan nya bagaimana hendak mengatasi masalahnya itu.

Umaiyah berkata kepada Abu Jahal: “ Lebih baik saja kita bunuh budak hitam itu.” “Itu tidak bijak.” Jawab Abu Jahal. “ Kalau membunuh dia bererti kita lemah dan kalah. Orang akan menentang kita secara diam-diam,” sambung Abu Jahal.

Umaiyah berkata lagi : : Apakah yang patut kita lakukan?” “Kita siksa dia sehingga dia tidak berdaya lagi,” kata Abu Jahal memberi pendapat.

Umaiyah berkata lagi” “ Sampai bila dan berapa lamakah kita harus menyiksa dia?” “ Sampai dia kafir semula,” jawab Abu Jahal bangga. Umaiyah tidak berasa puas hati maka dia berkata lagi :” Ya Abu Jahal, kita sebenarnya masih ketinggalan zaman kerena belum pernah aku lihat seorang manusia yang begitu sabar menanggung pelbagai azab demi mempertahankan kepercayaannya sebagaimana Bilal.” Umaiyah bertanya lagi: : Adakah cara lain yang engkau fikir boleh membuatkan dia mengubah pendiriannya?” “Begini,” kata Abu Jahal memulakan pendapatnya.” Bukankah hari amat panas sekali, jadi pakaikan dia dengan pakaian besi kemudian kita jemurkan dia di tengah padang pasir di luar kota Mekah. Aku percaya budak hitam itu tidak akan dapat menahan kepanasan besi dan cahaya matahari yang membakar itu.”

Umaiyah bertanya lagi” Adakah perbuatan ini akan berhasil?” “Tentu sekali aku percaya dan yakin jika dia mendengar rancangan kita ini tentu dia akan meminta ampun dan dengan itu sudah tentu dia akan kembali kepada agama asalnya,” Kata Abu Jahal dengan penuh yakin.

Setelah segala rangcangan mereka siap diatur maka mereka pun menangkap Bilal dan dipakaikannya dengan sehelai baju besi. Kemudian mereka pun membawa Bilal ketengah padang pasir dengan kakinya dirantai.

Setibanya di tengah padang pasir itu mereka pun meninggalkan Bilal keseorangan diri di antara batu-batu padang pasir itu.

Hari itu amat panas sekali sehingga tidak ada sesiapapun yang sanggup berdiri lama di bawah sinaran matahari pada masa itu. Manakala pada malam harinya pula keadaannya amat sejuk sehingga terasa ke tulang hitam.

Azab yang diterima oleh Bilal tidak terperi sakitnya. Bagaimanapun dia tidak mengeluh atau gentar menghadapi segala percubaan yang diterimanya. Hatinya bulat, dia hanya berdoa kepada Allah S.W.T. agar Allah S.W.T. menguatkan imannya di samping memohon bantuan agar Allah S.W.T. melepaskan dia dari azab yang tidak tertanggung itu.

Keesokan harinya Abu Jahal dan Umaiyah datang menemui Bilal. Dalam hati mereka berdua menyangkakan tentulah bilal akan bersujud kepada mereka meminta ampun dan berjanji akan mengubah pegangannya.

Sebaik saja syaitan Quraisy itu bersemuka dengan Bilal, semangatnya menjadi semakin kental mengadap segala kemungkinan dan kemarahannya semakin meluap-luap terhadap kedua manusia itu.

Abu Jahal mendekati Bilal lalu membisikan sesuatu, katanya: “ Hai Bilal, bagaimanakah keadaan engkau sekarang?” Kemudian Bilal menjawab: “ Ahad! Ahad!”

Mendengar perkataan itu, secara tiba-tiba Abu Jahal menjadi marah. Hatinya berasa terlalu sakit mendengar perkataan itu, bagi dia perkataan itu seolah-olah racun baginya.

Lantas dia berkata kepada Bilal dengan geramnya : “ Hei budak hitam, apakah kau masih mahu berkeras di atas kesesatan engkau ini.”

Abu Jahal mengamuk dan meradang setelah Bilal tetap dengan pendiriannya. Dia mencari-cari di sekelilingnya kalau-kalau ada benda yang dapat di pergunakannya untuk membunuh Bilal pada masa itu. Kemudian dia ternampak seketul batu besar tidak jauh dari situ, lantas dia serta Umaiyah dan juga para pengikut yang mengiringin mereka mengangkat batu besar itu dan meletakkannya di atas dada Bilal bin Rabah.

Setelah batu itu diletakkan di atas dadanya, Bilal merasa terlalu sukar untuk bernafas, tetapi dalam hatinya masih menyeru “ Ahad! Ahad!”

Abu Jahal, Umaiyah dan para pengikutnya mengugut Bilal mengatakan bahawa dia akan mati tidak lama lagi. Mereka bersorak-sorak melihat keadaan Bilal semakin payah untuk bernafas dan semakin perlahan pula suaranya menyebut “ Ahad! Ahad.” Akan tetapi gerak bibirnya masih belum berhenti dari menyebut perkataan itu.

Segala harapan Abu Jahal untuk melihat Bilal memohon ampun dan balik ke agama asal meleset sama sekali. Bahkan bibir Bilal tidak henti-henti menyebut “Ahad! Ahad”’ malah adakalanya kedengaran dia berdoa kepada Allah S.W.T. , katanya “ Ya Allah, sekiranya mereka mahu membunuh aku agar aku menyekutukan Tuhan Ar Rahman maka biarlah aku mati, daripada menyekutukan Tuhan. Aku tidak takut mati, aku tidak takut mati, aku lebih takut menyekutukan Tuhan Ar-Rahman. Ya Allah, Tuhan Ibrahim, Yunus, Musa dan Isa aku bermohon kepadamu selamatkanlah aku dari siksaan ini.”

Doa Bilal yang kedengaran terketar-ketar itu di dengari oleh Abu Jahal dan Umaiyah. Mereka berpandangan sesama sendiri memikirkan apakah yang harus dilakukan lagi terhadap Bilal. Kemudian Umaiyah berkata kepada Abu Jahal :” Bukankah sudah aku beritahu pada engkau, tak guna lagi kita menyiksa budak itu. Dia memang keras kepala, memang tak ada harapan yang dia akan mengikut agama kita lagi, lebih baik saja kita bunuh dia.”

Dalam perkara ini Abu Jahal lebih pintar dari Umaiyah. Sambil menundukkan kepada dia mencari-cari jalan bagaimana hendak memaksa Bilal supaya dia kembali kafir. Membunuhnya sebagaimana yang disarankan oleh Umaiyah adalah jalan yang terakhir tetapi tidak menguntungkan mereka, sebaliknya dia akan membawa banyak akibat dan kerugian kepada pihak Quraisy sendiri.

Kisah penderitaan Bilal menghadapi siksa dari pihak Quraisy akhirnya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah S.A.W. dan Saiyidina Abu Bakar Al Siddiq r.a. Setelah mendapat berita itu, tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar pun terus menuju ke tempat Bilal di siksa itu. Di bawah kepanasan cahaya matahari Saiyidina Abu Bakar meredah padang pasir yang luas itu.

Dari jauh dia nampak sekumpulan manusia sedang mengerumuni sesuatu. Tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar datang kearah mereka, mereka pun berundur. Sebaik saja Saiyidina Abu Bakar sampai disitu dilihatnya Bilal masih hidup dan dia tidak henti menyebut “Ahad! Ahad!”, akan tetapi keadaanya begitu menyayat hati. Dia meronta-ronta seperti separuh nyawa ikan. Batu besar yang menghempap pada perutnya menyebabkan dia mengalami kesesakan nafas.

Melihat keadaan sahabatnya diperlakukan begitu dia berasa amat hiba sekali, Saidina Abu Bakar yang biasanya bersifat penyabar, lemah lembut dan tenang tiba-tiba saja melenting marah bagai api menjulang. Api kemarahannya terlalu membara melihat kejadian yang menyayatkan itu. Ketika itu dilihatnya Abu Jahal dan Umaiyah adalah seperti budak kecil.

Dengan suara yang lantang dia berkata kepada Abu Jahal: “ Sampai bila kamu akan menyiksa budak itu?” Kata Umaiyah :” Itu urusan kami, mengapa kau harus masuk campur, ini hamba aku, aku boleh siksa dia sesuka hati aku dan aku boleh lepaskan dia bila aku suka.”

“ Apakah engkau tidak takut kepada Allah melakukan siksaan seperti ini?”, kata Saiyidina Abu Bakar. Umaiyah berkata lagi :” Cukup…cukup hai Abu Bakar! Kerana engkaulah maka dia aku siksa dan engkaulah yang merosakkannya.” Jawab Abu Bakar dengan marah : “ aku bukan merosakkannya, aku hanya menunjukkan jalan yang benar.”

“Sudah…sudah aku cukup mengerti perkara itu, engkau tidak perlu menerangkannya. Hanya satu permintaan aku jangan kau campuri urusan kami,” bentak Umaiyah.

“ Kami tidak akan membiarkan perbuatan kejam seperti ini dilakukan terutama sekali terhadap salah seorang teman yang sefahaman dengan kami. Menyiksa dan memaksa dia sama dengan menyiksa dan memaksa kami. Terus terang aku katakan bahawa aku akan membelanya dan tidak akan meninggalkan tempat ini sebelum engkau melepaskannya dan memerdekakan daripada penganiayaan yang kejam ini, “ tegas Abu Bakar geram.

“ Kami semua sudah sepakat tidak akan melepaskannya sehingga dia kembali kepada agama asalnya atau dia mati dalam siksaan ini,” jawab Umaiyah pula. Kemudian Abu Bakar berkata lagi : “ Engkau akan hampa saja hai Umaiyah. Sudah pasti dia tidak akan kembali kepada agama asalnya setelah mendapat hidayah dari Allah. Seperti orang yang berada dalam gelap gelita dia tidak akan mahu ketempat gelap itu setelah menemui tempat yang terang benderang.”

Umaiyah berkata dengan marah: “ Wahai Abu Bakar, apakah engkau datang ini untuk meminta ampunkan dosanya daripada kami atau engkau datang ini untuk membantu dia menghina dan memaki hamun Tuhan kami di hadapan muka kami sendiri?”

“Saya katakan kepada kamu semua bahawa dia akan tetap berpegang kepada kepercayaannya sampai dia mati walaupun dia disiksa”. “ Jadi adakah kamu mahu dia hidup dan saya beri dia makan dan minum serta pakaian kemudian dia menghina dan mengejek-ngejek agama kami setelah itu dia mengoda isteri dan anak-anak kami?” Sergah Umaiyah.

“ Aku sedia membelinya.” Kata Abu Bakar selamba. “ Engkau mahu membelinya,” kata Umaiyah seakan-akan terkejut. “ Benar….. aku mahu membelinya,” kata Abu Bakar. “Berapakah kamu sanggup bayar,” Tanya Umaiyah. “ Berapa yang kamu minta,” jelas Abu Bakar.

Setelah berpakat dengan Abu Jahal, Umaiyah pun berkata :” Lima wang emas ( setengah kilo).” Tanpa tawar menawar abu Bakar terus membayarnya. Setelah urusan jual beli itu selesai, tanpa membuang masa Saiyidina Abu Bakar berlari mendapatkan Bilal yang sedang dihempap batu besar itu. Oleh kerana batu itu terlalu besar Saiyidina Abu Bakar tidak berdaya mengangkatnya seorang diri. Orang ramai yang tadi bersurai datang menolong Abu Bakar kerana bersimpati dengannya. Kemudian batu besar itu Berjaya diangkat dan Bilal pun terselamat dari siksaan seterusnya.

Saiyidina Abu Bakar terus memapah Bilal untuk dibawa pulang mengadap Rasulullah S.A.W. Tidak lama kemudian Saiyidina Abu Bakar memerdekakan Bilal. Akhirnya Bilal dibebaskan dan tidak dikuasai oleh sesiapa lagi. Lantaran tingginya budi Saiyidina Abu Bakar dan besar jihad beliau terhadap Islam maka turunlah ayat Quran yang menyatakan kesalahan Umaiyah bin Khalaf serta memuji Saiyidina Abu Bakar yang penuh dengan sifat kemanusiaan yang tiada bandingannya itu.

Pada zaman Rasulullah S.A.W., ketika tiba waktu sembahyang Nabi S.A.W. menjadi iman dan Bilal r.a. menjadi Mu'adzzin. Bilal r.a. memang terkenal dengan suaranya yang merdu. Selepas Rasulullah S.A.W. wafat, Bilal meninggalkan kota Madinah.

Suatu ketika Bilal r.a. bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W. dan berkata baginda dalam mimpinya, "Wahai Bilal, mengapakah kamu tidak menziarahiku?" Sebaik sahaja Bilal terjaga dari tidurnya, dia pun bersiap-siap untuk berangkat ke Madinah.

Setibnya di Madinah, Bilal r.a. bertemu Hassan dan Hussain yakni cucu Rasulullah S.A.W., lalu mereka meminta Bilal r.a. untuk melaungkan azan. Untu tidak menghampakan permintaan dari orang-orang yang sangat dikasihinya, maka Bilal r.a. pun mengalunkan azan.

Apabila suara Bilal berazan berkumandang, maka keluarlah orang-orang dari kota Madinah tanpa segan silu, sambil mengerluarkan air mata mengingati zaman kegemilangannya yang dilalui bersama Rasulullah S.A.W.

Bilal r.a. terkenal dengan sifat kejujurannya, kesolehannya dan rendah hati.

Pada 20 hijrah, wafatlah Bilal r.a. dalam usia 60 tahun. Beliau dimakamkan di kota Damsyik berdekatan daerah Babus Saghir.

Sumber : Buku Himpunan Kisah-Kisah Teladan


PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.

 Tweet
 Share

 


TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..

No comments :