FAKTA SAINS:- SOLAT BERJEMAAH (BAHAGIAN PERTAMA) | KHALIFAH

About

penaja 1

5 October 2011

FAKTA SAINS:- SOLAT BERJEMAAH (BAHAGIAN PERTAMA)

Kelebihan Solat Berjamaah Menurut Pandangan Pakar Fizik

Diceritakan bahawa seorang profesor dalam bidang fizik di sebuah universiti di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang mengapa solat berjamaah disyariatkan dalam Islam dan kelebihan solat berjamaah tersebut dalam kehidupan umat Islam.Menurut profesor itu,tubuh badan kita ini mengandungi dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif.Dalam perjalanan hidup kita sehari-hari, sewaktu kita bekerja,beriadah atau berehat, kita akan menggunakan tenaga dan dalam proses pembakaran tenaga ini banyak berlaku pertukaran cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas-cas tersebut dalam tubuh kita.Inilah yang menyebabkan kita berasa letih dan lesu setelah selesai menjalankan aktiviti seharian kita.Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita kepada keadaan normal supaya kita kembali segar.

Berbalik kepada kaitan solat berjamaah, timbul satu persoalan di minda profesor ini mengapa dalam Islam, disyariatkan solat berjamaah, dan mengapa solat 5 waktu yang didirikan oleh orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.Dari kacamata beliau, sebagai seorang bukan Islam yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang berkaitan, beliau lalu menjalankan kajian tentang perkara ini dan mengaitkannya dengan teori keseimbangan cas tadi.

Pertama sekali beliau mengkaji kaitan jumlah rakaat dalam solat dan fungsinya dalam menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.Semasa kita solat berjamaah,kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit.Terdapat pelbagai hikmah disyariatkan seperti itu, namun menurut sains, pegeseran tubuh kita dengan tubuh jamaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas yang berlawanan akan ditarik ke dalam tubuh kita.Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau, dalam kehidupan kita, apabila kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat selama beberapa jam.Dalam keadaan ini, tubuh badan kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang.Jadi, kita hanya memerlukan sedikit sahaja lagi proses pertukaran cas di dalam tubuh kita agar keseimbangan dapat dicapai.Sebab itu solat Subuh didirikan dengan 2 rakaat. Seterusnya, setelah sekerat hari kita bertungkus lumus bekerja, membating tulang atau memerah otak, cas-cas ini kembali tidak seimbang akibat kehilangan banyak cas dari tubuh.Oleh itu kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas lalu solat berjamaah berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas ini.Oleh sebab itu, solat Zohor didirikan empat rakaat bagi memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama berlaku di sebelah petang, apabila kita mengeluarkan banyak tenaga untuk menyambung tugas, lalu sekali lagi kita kehilangan banyak cas-cas ini.Seperti halnya solat Zohor, maka solat Asar dikerjakan sebanyak 4 rakaat bagi memberi ruang kepada proses pertukaran cas berlaku dengan lebih lama.Selepas waktu Asar, setelah pulang dari kerja, pada kebiasaannya, kita akan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak menggunakan begitu banyak tenaga dan masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.Oleh itu, kita tidak menggunakan tenaga yang banyak.Maka solat Maghrib dikerjakan 3 rakaat adalah logik daripada penggunaan tenaga badan yang kurang daripada 2 waktu yang sebelumnya.

Sekarang timbul persoalan di fikiran beliau tentang mengapa pula solat Isya mengandungi 4 rakaat.Menurut logik asal, kita tidak banyak melakukan aktiviti pada waktu malam dan tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.Setelah kajian lanjut dijalankan, rupanya terdapat hikmah lain mengapa disyariatkan begitu.Seperti yang kita sedia maklum, kita umat Islam amat digalakkan tidur awal agar kita akan dapat bangun semula disepertiga malam untuk menunaikan solat-solat sunat, terutamanya solat Tahajjud.Jadi, dapatlah disimpulkan bahawa, solat Isya sebanyak 4 rakaat itu akan menyediakan badan kita dengan cas-cas yang seimbang serta memberi tenaga untuk kita bangun pada sepertiga malam, menunaikan solat sunat dan berqiam di pagi yang sunyi dan dingin ...

Dalam proses membuat kajian ini, beliau mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan segala amalan dan suruhan Allah taala itu mempunyai hikmah yang tersirat di dalamnya untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.Beliau merasakan betapa kerdilnya beliau dan betapa besarnya pencipta segala pencipta, raja segala raja.Pada waktu inilah, beliau telah diberi hidayah oleh Allah taala untuk memeluk agama Islam.

No comments :