Kerajaan Bani Abbasiyyah ialah nama yang diberi bagi Khalifah Baghdad iaitu empayar kedua Islam selepas penyingkiran pemerintahan Kerajaan Bani Ummaiyyah. Kerajaan ini merampas kuasa pada tahun 750 selepas mereka berjaya mengalahkan tentera Ummaiyyah dalam medan peperangan. Kerajaan ini berkembang selama dua kurun tetapi secara perlahan-lahan mengalami zaman kejatuhan selepas kebangkitan tentera berbangsa Turki yang mereka cipta. Kerajaan ini akhirnya berakhir pada tahun 1258 selepas Hulagu Khan iaitu seorang panglima tentera Mongol menghancurkan Baghdad.
Sewaktu menjelang hari perlantikan Harun Al Rashid menjadi khalifah,
dia telah mengarahkan seorang Menterinya untuk mengutus surat jemputan
kepada rakan-rakan rapatnya ke majlis meraikan perlantikannya. Dalam
majlis tersebut, rakan-rakannya akan diraikan oleh Harun Al Rashid
dengan jamuan yang lazat-lazat. Harun Al Rashid juga menghadiahkan
kepada mereka dengan hadiah yang cantik dan mahal di penghujung
majlis. Antara yang dijemput ialah Hasan Al Basri.
Setelah tarikh majlis keraian tersebut menjelang, kesemua jemputan pun
hadir. Seperti dirancang, mereka diraikan dengan jamuan yang enak dan
lazat, serta dihadiahkan dengan barangan yang cantik dan mahal di
penghujung majlis. Setelah hadirin bersurai, Harun Al Rashid mendapati
ada satu hadiah yang masih tinggal dan tidak diberikan kepada
jemputan. Maka bertanyalah Harun Al Rashid kepada Menterinya.
Harun Al Rashid : Milik siapakah hadiah ini ? Apakah masih ada
jemputan yang belum menerimanya ? Atau jemputan tersebut tidak sudi
menerima hadiah ku ini ? Atau apakah ada jemputan yang tidak hadir ?
Menteri : Wahai khalifah, sebenarnya ada seorang jemputan yang tidak
hadir. Maka dengan itulah terdapat satu lagi hadiah yang tinggal.
Harun Al Rashid : Siapakah jemputan yang tidak hadir tersebut ?
Menteri : Hassan Al Basri, wahai khalifah.
Harun Al Rashid terdiam sejenak setelah nama Hassan Al Basri disebut.
Setelah berfikir sejenak, maka dia pun berkata kepada Menterinya.
Harun Al Rashid : Akan aku tulis surat peribadi ku khas untuk Hassan
Al Basri. Mungkin kerana dia seorang berilmu tinggi, maka dia inginkan
jemputan khusus dan majlis untuknya yang khusus, baru dia senang
menerima hadiah anugerah ku. Setelah ku tulis surat itu, kau pergilah
ke madrasahnya dan serahkan sendiri surat itu ke tangannya.
Harun Al Rashid pun menulis surat tersebut dan mengarahkan Menterinya
untuk menyerahkan sendiri ke tangan Hassan Al Basri. Sang Menteri pun
segera bertolak ke Madrasah Hassan Al Basri membawa surat tulisan
tangan Harun Al Rashid, sambil diringi beberapa orang pegawai istana.
Sewaktu Menteri tersebut sampai ke Madrasah, Hassan Al Basri sedang
memberikan kuliah pengajian kepada murid-muridnya. Menteri tersebut
terus berjalan menuju ke pintu madrasah.Hassan Al Basri, sewaktu
terpandang Menteri dari istana datang menuju ke tempatnya berubah riak
muka Hasan Al Basri. Dia terus memalingkan mukanya dari Sang Menteri
dengan riak muka yang marah dan benci.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri meneruskan
saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya sambil memalingkan
mukanya dari Sang Menteri. Seolah-olah Sang Menteri tidak wujud di
situ.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri
Sang Menteri memberi salam buat kali ke-2.
Masih tiada jawapan dari Hassan Al Basri. Malah Hassan Al Basri
meneruskan saja memberikan kuliah kepada murid-muridnya.
Murid-muridnya juga berasa kehairanan.
Menteri : Assalamu a'laikum wahai Hassan Al Basri. Kedatangan ku
membawa surat peribadi milik Khalifah Harun Al Rashid.
Sang Menteri memberikan salam buat kali ke-3.
Maka berkatalah salah seorang murid tua kepada Hassan Al Basri.
Murid : Wahai tuan guru, ada Menteri diutuskan khalifah kepada Tuan,
membawa surat dari khalifah.
Setelah mendengar kata-kata muridnya, barulah Hassan Al Basri menjawab
salam Menteri tersebut.
Hassan Al Basri : Salam (Jawab Hassan Al Basri ringkas dengan nada
yang marah). Untuk apa kau ke mari?
Menteri : Kedatangan ku membawa surat peribadi tulisan tangan khalifah
buat mu. Aku harap kau terimalah surat ini.
Jawab Menteri, sambil menghulurkan surat tersebut kepada Hassan Al
Basri. Hassan Al Basri apabila dihulurkan surat tersebut, dengan
segera mengelak dan menepis, agar surat tersebut tidak menyentuh
dirinya.Hal ini juga mengejutkan murid-muridnya.
Murid : Wahai Tuan guru, apakah surat ini bernajis sehingga kau enggan
menerimanya ? Kasihanilah Menteri ini kerana dia hanya menunaikan
arahan Tuannya. Nanti dia pasti akan dihukum kerana kegagalannya
menyampaikan surat Tuannya.
Hassan Al Basri : Kalau begitu kau saja yang baca surat ini. Biar ku dengar.
Maka muridnya pun mengutip surat tersebut yang jatuh ke lantai
Madrasah. Lalu dibuka surat tersebut dan dibaca.
Salam sejahtera buat sahabat ku, Sheikh Hassan Al Basri.
Tujuan ku tulis surat ini, adalah untuk menjemput mu ke majlis
meraikan perlantikan ku sebagai khalifah. Mungkin engkau sibuk sewaktu
hari pertama perlantikan ku, maka engkau tidak sempat hadir ke majlis
tersebut. Maka atas dasar persahabatan kita, maka akan ku adakan
sekali lagi majlis keraian tersebut hanya buat mu. Akan ku jamu engkau
dengan hidangan yang enak dan lazat. Dan akan ku anugerahkan kepada mu
hadiah yang cantik dan mahal. Aku harap engkau akan hadir ke istana ku
esok hari untuk majlis ini.
Sekian.
Daripada Khalifah Umat Islam, Khalifah Harun Al Rashid
Dengan riak muka yang marah, dan nada yang tegas Hassan Al Basri
mengarahkan muridnya.
Hassan Al Basri : Kau tulis jawapan ku kepada Harun Al Rashid
dibelakang suratnya.
Salam,
Harun,
Apakah kau sangka dengan menjamu aku dengan hidangan enak dan lazat,
serta anugerah hadiah yang mahal, mampu menjadikan aku menyokong
perbuatan mungkar mu ?
Tahukah kamu, perbelanjaan majlis meraikan perlantikan mu sebagai
khalifah, datangnya dari pembiayaan Baitul Mal ? Engkau tergamak
menggunakan harta Baitul Mal yang hakikatnya milik rakyat bagi
membiayai majlis peribadi mu. Kau nafikan hak rakyat yang fakir dan
miskin, anak-anak yang yatim dan piatu serta janda-janda yang tiada
tempat bergantung. Kau biarkan mereka tidur dalam kelaparan bersama
fikiran yang rungsing memikirkan, "Dimanakah akan ku cari rezeki
keesokan hari ?"
Di waktu yang sama, kau menjamu sahabat-sahabat mu dengan hidangan
yang enak dan lazat walaupun mereka mampu mengenyangkan diri mereka
sendiri dengan kekayaan mereka. Di waktu yang sama, kau anugerahkan
mereka dengan hadiah yang mahal-mahal, sedangkan rakyat mu ada yang
daif dalam kemiskinan. Kehidupan mereka tenggelam dalam lautan air
mata penderitaan dan kesedihan akibat kemiskinan.
Belum pun genap sehari engkau menjadi khalifah, sudah banyak dosa yang
telah engkau lakukan. Amanah rakyat telah engkau khianati. Apatah lagi
jika semakin banyak dan lama hari engkau memerintah, maka akan semakin
banyaklah dosa dan kemungkaran yang bakal engkau lakukan.
Apakah untuk ini engkau dijadikan Allah ?
Mulai saat ini, jangan sesekali engkau melafazkan bahwa Hassan Al
Basri adalah sahabat mu. Mulai hari ini dan saat ini, ku putuskan
persahabatan ku dengan mu !!!
Sekian.
Hassan Al Basri
Tersentuh hati Menteri mendengar ketegasan jawapan yang dilafazkan
oleh Hassan Al Basri. Setelah murid Hassan Al Basri selesai menulis
jawapan gurunya, surat tersebut pun diserahkan kepada Menteri untuk
dikembalikan kepada Harun Al Rashid.
Hassan Al Basri : Ambillah surat ini dan kembalikannya kepada Tuan mu.
Menteri itu pun mengambil surat tersebut dan berlalu. Kata-kata Hassan
Al Basri terus bermain di dalam hati dan fikirannya. Kini hatinya
menjadi rungsing. Dalam perjalanan pulang ke istana, dia melalui pasar
jualan. Di hentikan kudanya, dan turun sambil diiringi pegawai-pegawai
yang mengikutinya. Lalu bekatalah Menteri tersebut kepada para
pedagang di pasar itu.
Menteri : Wahai para saudagar, mahukah kamu membeli jubah yang kupakai
ini ? Jubah yang bermutu tinggi, lagi ranggi dan cantik ini merupakan
anugerah Khalifah kepada ku sebagai salah seorang Menteri di istana.
Akan ku jualkan kepada mu dengan harga yang murah.
Para pedagang di pasar tersebut berasa hairan dengan kata-kata menteri
tersebut. Berkatalah salah seorang daripada mereka.
Pedagang : Mengapa engkau ingin menjual jubah kebesaran mu itu ?
Berapakah harganya ?
Menteri : Mengapa ingin ku jualkannya, adalah urusan ku dengan Tuhan
ku. Harganya amat
murah. Aku hanya memerlukan pakaian yang diperbuat dari kain yang
kasar seperti yang dipakai oleh ahli sufi.
Maka urusniaga itu pun berjalan lancar antara Menteri dan saudagar di
situ. Setelah Menteri mengenakan jubah dari kain yang kasar, dia pun
kembali ke istana untuk mengembalikan surat dari Hassan Al Basri.
Setibanya Menteri di istana, dia terus pergi menemui khalifah dengan
pakaiannya yang kasar dan murah. Harun Al Rashid tersentak kehairanan,
melihat Menterinya berpakaian demikian. Lalu dia bertanya kepada
Menteri.
Harun Al Rashid : Mengapa engkau berpakaian demikian ? Ke manakah
perginya jubah kebesaran mu sebagai seorang menteri di istana ku ?
Menteri : Wahai khalifah. Sekembalinya aku dari Madrasah Hassan Al
Basri, aku telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan ku sebagai
Menteri. Maka ku tukarkan jubah kebesaran seorang menteri anugerah mu
kepada pakaian yang kasar dan murah ini. Anggaplah aku membawa surat
jawapan Hassan Al Basri merupakan tugas dan khidmat ku yang terakhir
buat mu. Kerana selepas ini, aku akan mengikuti tuan ku yang baru,
iaitu Tuan Hassan Al Basri. Agar aku dapat dididik untuk mentaati
Allah dan Rasul Nya.
Menteri itu pun menyerahkan surat jawapan Hassan Al Basri kepada Harun
Al Rashid dan terus berlalu dari situ. Menteri itu telah pergi ke
Madrasah Hassan Al Basri dan menjadi salah seorang muridnya.Harun Al
Rashid, setelah menerima surat jawapan dari Hassan Al Basri, terus
membuka dan membacanya. Tersentaklah Harun Al Rashid buat kali kedua
di hari itu. Tidak disangka oleh Harun Al Rashid, jawapan yang
diberikan oleh Hassan Al Basri amat tegas. Jawapan Hassan Al BAsri
telah menyebabkan Harun Al Rashid menangis dan terus menangis.
Tangisan keinsafan.
Di beritakan, Sesudah peristiwa itu, Harun Al Rashid akan meletakkan
surat Hassan Al Basri di sebelahnya sewaktu solat. Sesudah selesai
solat, Harun Al Rashid akan membaca surat jawapan Hassan Al Basri dan
terus menangis. Dia melakukan ini sehinggalah beliau menghembuskan
nafasnya yang terakhir. Dia menjadikan surat tersebut sebagai
peringatan buat dirinya yang sering lupa agar dia tidak tergelincir
dalam pentadbirannya. Maka tidak hairanlah, Harun Al Rashid merupakan
salah seorang khalifah Abbasiah yang yang dikenali kewarakannya.
sumber http://zaidisign.blogspot.com/2011/02/kisah-sheikh-hassan-al-basri-dan.html
Di Tulis Oleh:-
http://khalifahalhidayah.blogspot.com |
Tweet
No comments :
Post a Comment