Sejarah Peristiwa Ibadah Qurban | KHALIFAH

About

penaja 1

15 October 2013

Sejarah Peristiwa Ibadah Qurban

HARI Raya Aidiladha mempunyai makna yang cukup besar kepada seluruh
umat Islam di dunia. Ia juga dikenali sebagai hari raya haji, sempena
umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Salah satu keistimewaan Aidiladha ialah ibadat korban. Ibadat korban
ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib
menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari
pada hari ke 13 Zulhijjah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah
ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah
Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Menjelang hari mulia ini juga kita sering teringat kepada sejarah Nabi
Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu
daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim
bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih
anaknya yang bernama Ismail.

Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya
yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar
dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur
saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti."

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya:
"Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia
merelakan diriku untuk disembelih". Setelah persetujuan dicapai,
keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk
disembelih.

Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada
pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga
ada yang mengatakan: "Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila
hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara
ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".

Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap
menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya.
Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang
dituju, berkatalah anaknya: "Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik
untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan
menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah
tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku."

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT
perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama
Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka
terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang
manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup
matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu
bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah
SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan
kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada
Allah SWT.

Seharusnya peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan
Nabi Ismail a.s ini diceritakan berulangkali agar ia tidak dilupakan,
terutamanya oleh generasi muda. Berapa ramai agaknya anak muda di
zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri disembelih oleh ayah
sendiri?

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi
Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah
demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa mengorbankan anak
kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami dan
menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.

Peristiwa tersebut memberi makna yang cukup besar terutamanya dalam
kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia semakin sibuk mengejar
kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah suatu perkara
yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat sukar.

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang
sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya.
Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami
berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta
pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang sanggup tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya
yang sakit juga telah berkorban. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang
terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun
nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan
jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah
semata-mata.

Dalam aspek kemasyarakatan, individu yang sanggup berkorban bakal
mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah
masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan
mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan
mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam
kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat dari
mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas kerana
Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan
tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Harus diingat bahawa setiap dari kita berpotensi untuk melakukan
pengorbanan. Memetik kata-kata seorang cendekiawan: "Isteri jadilah
Siti Hajar walau suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita
Nabi Ismail".

No comments :