Riwayat Hidup Imam Hanafi | KHALIFAH

About

penaja 1

16 March 2013

Riwayat Hidup Imam Hanafi

Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) adalah salah seorang Imam Mazhab yang besar dalam dunia Islam, iaitu Mazhab Hanafi. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Abu Hanifah yang bukan orang Arab. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi S.A.W.

Nama sebenar beliau ialah An-Nu`man bin Tsabit bin Zauta bin Maha At-Taymiy (ﻨﻌﻤﺎﻥ ﺑﻦ ﺛﺎﺑﺖ ﺑﻦ ﺯﻭﻃﺎ  ﺍﻟﺘﻴﻤﻲ). Beliau dilahirkan di Kufah, Iraq pada tahun 80H/699M. Sebuah bandar yang terkenal sebagai pusat ilmu Islam ketika itu, diasaskan oleh ‘Abdullah ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh (32H/652M), seorang sahabat zaman Rasulullah shallahu ‘alaihiwasallam.

Imam Abu Hanifah merupakan seorang tabi`in. Beliau berketurunan Parsi / Persia (Iran), atau disebut juga dengan bangsa Ajam. Ayahnya seorang peniaga kain. Dia sekali-sekala ikut serta dalam urusniaga ayahnya, akan tetapi minatnya yang lebih besar ialah ke arah membaca dan menghafal Al-Quran.

Beliau dikenali dengan nama Abu Hanifah kerana salah seorang anaknya bernama Hanifah.

Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli sejarah ada beberapa sebab:

1. Kerana dia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka dia diberi julukan dengan Abu Hanifah.

2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka dia dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya dia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.

3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadits-hadits, ke mana dia pergi selalu membawa tinta. Kerana itu dia dinamakan Abu Hanifah.

Waktu dia dilahirkan, pemerintahan Islam berada di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah kelima. Imam Abu Hanifah pada satu hari telah berjumpa dengan seorang tokoh agama yang masyhur pada ketika itu bernama as-Sya’bi. Melihatkan kepintaran dan kecerdasan luar biasa yang terpendam dalam Imam Abu Hanifah, as-Sya’bi menasihatkan beliau agar lebih banyak mencurahkan usaha ke dalam bidang ilmu-ilmu Islam. Dengan nasihat dan dorongan as-Sya’bi, Imam Abu Hanifah mula menceburkan diri secara khusus mempelajari ilmu-ilmu Islam.

Imam Abu Hanifah mula belajar dengan mendalami ilmu-ilmu qiraat, ilmu bahasa Arab, ilmu kalam dan lain-lain. Akan tetapi bidang ilmu yang paling diminatinya ialah ilmu hadits dan fiqh. Beliau banyak meluangkan masa dan tenaga untuk mendalaminya. Imam Abu Hanifah meneruskan pembelajarannya dengan bergurukan kepada as-Sya’bi dan beberapa tokoh ilmuan lain di Kufah. Menurut riwayat, jumlah gurunya di Kufah sahaja berjumlah 93 orang.

Beliau kemudiannya berhijrah ke bandar Basrah di Iraq, untuk berguru bersama Hammad bin Abi Sulaiman, Qatadah dan Shu’bah. Setelah sekian lama berguru dengan Shu’bah yang pada ketika itu terkenal sebagai Amir al-Mu’minin fi Hadith (pemimpin umat dalam bidang hadits), beliau diizinkan gurunya untuk mula mengajar hadits kepada orang ramai.

Berkata Shu’bah: “Sebagaimana aku ketahui dengan pasti akan kesinaran cahaya matahari, aku juga ketahui dengan pasti bahawa ilmu dan Abu Hanifah adalah sepasangan bersama. ”Imam Abu Hanifah tidak hanya berpuas hati dengan pembelajarannya di Kufah dan Basrah di Iraq. Beliau kemudiannya turun ke Makkah dan Madinah untuk menuntut ilmu lagi. Di sana beliau duduk berguru kepada ‘Atha’ bin Abi Rabah.

Kemudiannya Imam Abu Hanifah duduk pula bersama Ikrimah, seorang tokoh besar agama di Makkah yang juga merupakan anak murid kepada ‘Abdullah ibn ‘Abbas, ‘Ali bin Abi Thalib r.a, Abu Hurairah r.a dan ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhum. Kehandalan Imam Abu Hanifah dalam ilmu-ilmu hadits dan fiqh diiktiraf oleh Ikrimah sehingga beliau kemudiannya membenarkan Imam Abu Hanifah menjadi guru kepada penduduk Makkah.

Imam Abu Hanifah kemudiannya meneruskan pengajiannya di Madinah bersama Baqir dan Ja’afar as-Shadiq. Kemudiannya beliau duduk bersebelahan dengan Imam Malik bin Anas, tokoh besar kota Madinah ketika itu. Walaupun Imam Abu Hanifah 13 tahun lebih tua daripada Imam Malik, ini tidak menghalangnya untuk turut serta belajar.

Apabila guru kesayangannya Hammad meninggal dunia di Basrah pada tahun 120H/738M, Imam Abu Hanifah telah diminta untuk mengganti kedudukan Hammad sebagai guru dan sekaligus tokoh agama di Basrah. Melihatkan tiada siapa lain yang akan meneruskan perjuangan Hammad, Imam Abu Hanifah bersetuju kepada jawatan tersebut.

Mulai di sinilah Imam Abu Hanifah mengajar dan menjadi tokoh besar terbaru dunia Islam. Orang ramai dari serata pelusuk dunia Islam datang untuk belajar bersamanya. Di samping mengajar, Imam Abu Hanifah adalah juga seorang pedagang dan beliau amat bijak dalam mengadili antara dua tanggungjawabnya ini sebagaimana diterangkan anak muridnya al-Fudail ibn ‘Iyyadh:

“Adalah Imam Abu Hanifah seorang ahli hukum, terkenal dalam bidang fiqh, banyak kekayaan, suka mengeluarkan harta untuk sesiapa yang memerlukannya, seorang yang sangat sabar dalam pembelajaran baik malam atau siang hari, banyak beribadat pada malam hari, banyak berdiam diri, sedikit berbicara terkecuali apabila datang kepadanya sesuatu masalah agama, amat pandai menunjuki manusia kepada kebenaran dan tidak mahu menerima pemberian penguasa.”

Selain berguru dengan para tabi`in, beliau juga menemuï beberapa orang sahabat Nabi, antaranya Anas bin Malik, `Abdu Llah bin Abi Awfa, `Abdu Llah bin Al-Hasan, Zayd bin `Aliy, `Abdu Llah bin Al-Haris bin Juz’, dan Ma`qal bin Yasar, Abu t-Tufayl `Amir bin Wasilah.

Imam Abu Hanifah mempunyaï ramai murid yang masyhur seperti Abu Yusuf, Asad bin `Amr, Al-Qasim bin Ma`n, Zafr bin Al-Huzayl, Al-Walid bin Aban, Abu Bakr Al-Hazliy, Ya`qub bin Ibrahim Al-Ansariy Al-Kufiy, Muhammad bin Al-Hasan bin Asy-Syaybaniy dan Al-Hasan bin Ziyad Al-Lu’lu’iy Al-Kufiy.

Imam Abu Hanifah adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. Walaupun demikian orang-orang yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.

Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran dia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar, kerana menurut Imam Abu Hanifah kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik yang ada di tempat tersebut

Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat. Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.


Imam Abu Hanifah menolak pangkat dan kedudukan tinggi

Sifat Imam Abu Hanifah yang lain adalah menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. Dia menolak pangkat dan menolak wang yang diberikan kepadanya. Akibat dari penolakannya itu dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di dalam penjara dia diseksa, dipukul dan sebagainya.

Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin dia tentu dapat mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya. Pernah pada suatu ketika Imam Abu Hanifah akan diangkat menjadi ketua urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan itu ditolaknya. Dia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.

Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan pangkat Qadhi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak senang melihat sikap Imam Abu Hanifah tersebut. Seolah-olah Imam Abu Hanifah memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu dia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera. Ketika Imam Abu Hanifah mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam Abu Hanifah menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian beraninya Imam Abu Hanifah dalam menegakkan pendirian hidupnya.

Pada suatu hari Yazid memanggil para alim ulama ahli fiqh yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila. Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.

Ketika itu gabenor menetapkan Imam Abu Hanifah menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya dia akan dihukum dengan pukulan.”

Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Abu Hanifah tetap menolak jawatan itu, bahkan dia tetap tegas, bahawa dia tidak mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.

Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi qadhi (kadi), juga ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Abu Hanifah tetap dengan pendiriannya. Sampai dia dilepaskan kembali setelah cukup 110 kali cambukan.

Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina Imam Abu Hanifah. Walaupun demikian ketika Imam Abu Hanifah diseksa, dia sempat berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.” Ketika dia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Abu Hanifah juga menerima ujian. Kemudian pada tahun 132H sesudah dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara, dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya bernama Abu Abbas as Saffah.

Pada tahun 132H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.

Suatu hari Imam Abu Hanifah mendapat panggilan dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya dia datang mengadap ke istana. Sesampainya dia di istana Baghdad, dia ditetapkan oleh baginda menjadi qadhi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar sumpah saya.”

Kerana dia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Abu Hanifah itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.

Pada suatu hari Imam Abu Hanifah dikeluarkan dari penjara kerana mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi dia tetap menolak. Baginda bertanya, “Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”

Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”

Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Amirul Mukminin, sungguh baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”

Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi surat perlantikan tersebut.

Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi qadhi di Kota Basrah, lmam Syarik diangkat menjadi qadhi di ibu kota. Adapun Imam Abu Hanifah tidak mahu menerima pengangkatan itu di manapun dia diletakkan. Pengangkatan itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.

Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian dia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.

Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.


Saat-saat terakhir

Suatu kali Imam Abu Hanifah dipanggil baginda untuk mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun. Dia dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Abu Hanifah kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada bulan Rejab 150H/767M dalam keadaan menderita di penjara ketika itu dia berusia 70 tahun (ada yang mengatakan 68 tahun).

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini amat dirasai oleh dunia Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir 50,000 orang jamaah.

(SUMBER KHALIFAH (APABILA ISLAM BERBICARA) )

Imam Abu Hanifah menolak semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan Abbasiyah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak Imam Abu Hanifah untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Abu Hanifah menolak semua tawaran yang mereka berikan.
Semoga Allah S.w.t merahmati Imam Abu Hanifah dan berada di kalangan orang-orang soleh di sana, amin.


Sumbangan kepada Tamadun Islam

1- Kebanyakan masanya digunakan untuk mengajar di masjid.

2- Berfikiran secara kritis dan terbuka dalam menyelesaikan masalah fiqh.

3- `Ulama’ pertama yang menyusun kitab fiqh mengikut bab dan fasal dengan baik dan tersusun.

4- Seorang yang amat teliti dalam menentukan hukum mengikut martabat hadits.

5- Menyusun cara mengeluarkan hukum berdasarkan kepada kaedah-kaedah tertentu.

6- Antara kitab yang ditulis oleh beliau ialah Al-Fiqh Al-Akbar dan Kitab Al-Fara’idh.

7- Beliau juga seorang yang amat teliti terhadap hadits. Beliau hanya menerima hadits yang sahih dan kuat sanadnya.


Pengaruh Mazhab Hanafi

Aliran mazhab Imam Abu Hanifah dikenali dengan nama Mazhab Hanafi. Sejak ia muncul, ia tersebar luas dan begitu berpengaruh di Iraq. Mazhab Hanafi ialah mazhab rasmi Dawlah (kerajaan) `Usmaniyyah, dan masih berpengaruh di negara-negara bekas jajahan Dawlah `Usmaniyyah seperti Mesir, Syria, Lubnan, Bosnia dan Turki.


PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di bawah ini.

 
 Share

 

TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..

No comments :