Salahudin Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub,
Atau Saladin –menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M,
di kota Tikrit, berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km
dari kota Baghdad.
Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa dilahirkan keluarganya
dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana dituduh penghianat.
Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga ayahnya
berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang
kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi
pahlawan terbilang.
Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat pendidikan ilmu
ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau Assaddudin
Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak Kurdish biasa.
Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di samping
seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang
menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin
dari tentera Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya
untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan
dan memudahkan jalan-jalannya ke arah itu.
Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik Nuruddin, sultan
Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu
Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada
mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana
lebih sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha
Bijaksana seperti yang termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu (Al-Baqarah:216).
Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba berubah. Dia yakin
Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk membebaskan Baitul
Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang zuhud dan
tidak tergoda dengan kesenangan dunia.
Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin mengubah cara
hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan menjalani
hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak
hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh
kepada tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina
kekuatan Islam bagi menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah
berkata, Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA
juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan DIA memenangkan
perjuangan Islam.
Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan dirinya untuk jalan
jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan
Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat
Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera
Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling
digemarinya.Dia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat
pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan
berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad dia
akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini dia lebih
banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak
keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat
kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera
salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan
perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu yang kehilangan anak.
Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain dalam usaha
menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan
Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang
berlinang mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika
perang berlansung dia lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia
demam namun tetap berpuasa. Doktor peribadinya berkata bahawa
Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap makanan sahaja kerena
tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada
Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan
bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis
Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari
Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.
Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari kemenangan atas
kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar,
peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan ini.
Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua
ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah
kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar
datang. Laungan Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah
bergema ke angkasa.
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini
sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli sejarah
Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan
hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah
menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya
ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat
bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala
bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian
diperlakukan tidak baik.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera
Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099.
Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred
menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat'
dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa,
dibakar dan dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara
rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari
pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencemarkan
kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan.
Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan
dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya
penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka
ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling
penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan Salahuddin sentiasa
berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada
siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama
sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya,
sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari
dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam
membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran
masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis
itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan
berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan sembahyang
berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di
belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin
melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya,
kecuali tiga hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu
pingsan.
Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi dia tidak pernah
membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup nisab.
Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya
kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika
wafatnya dia tidak meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan
bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali
hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya
pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras
supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata,
Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat
menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan. Pada
tahun kemangkatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi
tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan
Quran. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran
para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia
mendengar dengan sepenuh hati sehingga air matanya membasahi dagunya.
Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Dia akan
memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis
dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi
mendengar kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan
mata yang berlinang.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Dia
biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam
kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang pada masa itu
seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera
bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk
meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk.
Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu.
Dia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis
hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat
sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat
tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan
berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami
beberapa hari kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah
mereka dan berangkat.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang
datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera Salib
berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya
dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah
mereka menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika
mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh
beserta senjata berat mendarat. Boleh dikatakan semua orang merasa
gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa
kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah
menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh
khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin
dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya
dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya
membalikkan kekalahan menjadi kemenangan.
Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000
mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita
Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku hendak
beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan
seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan
tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, kuberikan
arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku
akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah yang lain.
Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir
di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Dia juga
mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam mereka.
Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya
orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat
dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari
satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga
banyak menghafal syair-syair Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan
bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami
lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan
perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.
Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah mengalahkan tentera
Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun telah
membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana
melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh.
Selepas beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria,
pewaris-pewarisnya telah memerintah Mesir sehingga tahun 1250.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin
sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang lain kerana
menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib
menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih
orang-orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi
hinggalah ke tengah malam. Pada keesokan harinya mayat-mayat orang
Islam bertimbun setinggi paras lutut di sepanjang jalan di Jerusalem.
Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk kembali Jerusalem
pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk Jerusalem
, malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut
semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi)
untuk bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar
tersebut.
Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan Salahudin ialah kepada
musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari England. Ketika
peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu Sultan
Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter.
Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya
ditandatangani perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga
orang-orang Eropah berasa takjub bagaimana agama Islam boleh
melahirkan seorang pahlawan yang baik seperti Salahudin Al Ayubi.
Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi berpesan kepada
anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana apabila darah
telah terpercik tidak ada yang tertidur."
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah
pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin
telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.
Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit, dia telah menjadi
sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah diminta
menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada
malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin.
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang
lepas membacakan Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan.
Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah Allah, tiada tuhan
melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (Al-Hasyr:
22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan
denga nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan
selain Allah. Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan
nafasnya yang terakhir sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta
kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak cukup
untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh
seorang menterinya.
No comments :
Post a Comment